PADANG BESAR, 11 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian melalui penyelidikan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghasilkan mangga Harumanis Perlis lebih awal pada Januari lepas berbanding musim kebiasaannya Mac hingga Jun.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata kejayaan itu membuktikan Harumanis boleh dihasilkan tanpa perlu mengikut bulan tertentu malah melalui penanaman lebih sistematik kualitinya setanding dengan musim biasa.
"Kita dapat lihat Harumanis sudah boleh diperoleh seawal penghujung Januari lepas dengan rasa dan kualiti yang setanding hasil pada musim biasa.
“Ini perkembangan yang baik bukan sahaja untuk industri pertanian Perlis tetapi juga untuk meningkatkan pendapatan petani," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembukaan musim Harumanis keluaran Koperasi Y.A di Chuping di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Y.A Harumanis Perlis Mohd Asri Yusof berkata kejayaan itu turut melibatkan hasil usaha 192 peserta koperasi yang mengusahakan tanaman Harumanis di kawasan seluas 169.9 hektar dengan lebih 27,000 pokok di Perlis Utara (Zon A).
"Kami menyasarkan hasil keseluruhan mencecah 200 tan metrik tahun ini. Ini kali pertama kami berjaya menghasilkan Harumanis di luar musim iaitu pada Januari dengan kira-kira 10 tan matrik Harumanis," katanya.
Mohd Asri berkata penyelidikan bersama UniMAP itu antaranya membantu dalam pengawalan pembungaan bagi memastikan bunga tidak rosak ketika musim hujan.
"Teknologi mikrob yang dibangunkan penyelidik UniMAP membolehkan pertumbuhan pokok lebih stabil tanpa bergantung sepenuhnya kepada bahan kimia," katanya.
-- BERNAMA