KANGAR, 11 Feb (Bernama) -- Sebanyak 400,000 pengunjung disasarkan hadir memeriahkan Pesta Angin Timur Perlis 2025 (PAT 2025) yang akan berlangsung di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang di Arau pada 21 hingga 23 Feb ini.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata kerajaan negeri optimis dengan sasaran itu berikutan jumlah pengunjung pada penganjuran PAT 2024 merekodkan peningkatan kepada 369,159 orang berbanding 332,803 orang pada tahun sebelumnya.
"Pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang PAT 2025 antaranya Pertandingan Wau Tradisional, Pertandingan Arca Jerami Gergasi, ‘Mud Challenge’ (Cabaran Lumpur), Pertandingan ‘Bey Blade’, Pertandingan Bola Tampar Bendang dan Persembahan Bunga Api.
"Bagi acara Mud Challenge turut melibatkan penyertaan antarabangsa termasuk dari Afrika, Thailand, Indonesia dan Australia," katanya pada sidang media mengenai penganjuran PAT 2025 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata pihaknya turut menyasarkan nilai jualan RM3 juta pada penganjuran PAT edisi ke-13 itu berbanding RM2.8 juta yang dicatatkan tahun lepas dan RM1.5 juta pada 2023.
"Pada PAT 2025 ini, terdapat 225 lot niaga untuk jualan produk usahawan disediakan dan jualan ini akan bermula dua hari awal sebelum 21 Feb nanti," katanya.
Program PAT merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama kerajaan negeri yang dikelolakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis dan Majlis Kebudayaan Negeri Perlis.
-- BERNAMA