EKONOMI

'GREEN HALAL', PENCETUS PERUBAHAN UNTUK PERTUMBUHAN PERNIAGAAN - ALLIANCE ISLAMIC BANK

12/02/2025 12:47 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Konsep ‘green halal’ (halal hijau) walaupun tidak diketahui ramai, memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan perniagaan dengan menggabungkan amalan halal dan mampan, kata Alliance Islamic Bank Bhd (AIS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata penyepaduan itu menawarkan peluang perniagaan diperluas yang mengimbangi keuntungan dengan tujuan.

Beliau turut menekankan bahawa halal hijau membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pasaran yang semakin mengutamakan kelestarian dan nilai murni.

"Dengan menyelaraskan amalan halal dan kemampanan, halal hijau membolehkan perniagaan membina daya tahan, kekal berdaya saing dan memenuhi peningkatan permintaan untuk produk dan perkhidmatan berorientasikan halal serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya kepada Bernama.

Rizal IL-Ehzan berkata banyak perniagaan beroperasi dalam parameter halal tetapi tidak menyedari mengenai kemampanan atau kesan ESG perniagaan mereka.

“Terdapat perniagaan berorientasikan ESG yang boleh meningkatkan daya tarikan mereka menerusi pasaran halal.

“Kami mahu mempromosikan ekonomi halal, pada masa sama memastikan perniagaan beroperasi dengan cara yang menghasilkan impak positif kepada ekonomi, alam sekitar dan masyarakat,” katanya.

 

AIS perjuangkan Hijau Halal melalui Program Direka Khusus

 

Rizal IL-Ehzan berkata bank itu membolehkan penerimaan konsep halal hijau dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif seperti program “halal dalam satu” (HiO) dan program pembiayaan kemampanan Islam (ISF).

Beliau berkata program HiO ialah inisiatif utama AIS, direka untuk membantu perniagaan meneroka dan berjaya dalam industri halal.

“Ia dibangunkan sekitar tiga komponen teras. Komponen pertama ialah memulakan perniagaan halal, di mana kami menyokong PKS pada permulaan perjalanan perniagaan halal mereka dengan membimbing mereka melalui proses pensijilan halal.

“Komponen kedua ialah ‘tumbuh secara halal’, bermakna kami membantu mereka meningkatkan dengan meluaskan jangkauan pasaran mereka melalui padanan perniagaan dan cadangan akses pasaran,” katanya.

Beliau berkata bahawa ‘halal dana’ adalah komponen utama ketiga HiO, menawarkan pembiayaan patuh shariah untuk pensijilan, pengubahsuaian premis, perbelanjaan modal dan modal kerja.

Sementara itu, program ISF menyokong perniagaan yang beralih kepada amalan mampan dengan menawarkan tiga jenis pilihan pembiayaan, iaitu pembiayaan solar, pembiayaan modal kerja untuk sektor dan projek mampan serta pembiayaan modal kerja am untuk menyokong keperluan perniagaan yang lebih luas dan beralih kepada kemampanan.

 

Kepentingan Pembiayaan Halal Hijau

 

Memandangkan kemampanan sudah menjadi keutamaan global dan dengan minat yang semakin meningkat terhadap produk halal, kerajaan telah mengambil langkah bagi menggalakkan integrasi ini melalui inisiatif seperti Program Perintis Penghijauan Perniagaan Halal, ia akan membantu perniagaan halal dalam menerima pakai amalan mesra alam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam banyak acara sering mengulangi komitmen kerajaan terhadap inovasi melalui perkongsian termasuk mengumumkan komitmen RM100 juta untuk lebih banyak inovasi pada Mei 2024. 

Rizal Il-Ehzan menjelaskan konsep halal hijau mempunyai impak yang unik kerana ia merentasi halal dan kemampanan, menawarkan pendekatan strategik bagi mewujudkan manfaat positif untuk perniagaan, alam sekitar serta masyarakat.

“Konsep tersebut membolehkan perniagaan memenuhi matlamat halal dan kemampanan, ini akan menarik pelanggan yang lebih luas.

“Ia merangsang inovasi dan pertumbuhan jangka panjang dengan menyelaraskan amalan etika serta mampan dengan strategi perniagaan,” katanya. 

Penerimaan amalan halal hijau menunjukkan kesediaan perniagaan untuk menyebarkan model perniagaan yang bertanggungjawab dan mencerminkan komitmennya dalam memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Pengawalseliaan Global mengenai Amalan Karton Rendah

 

Di peringkat global, Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah (CBAM) akan dilancarkan menjelang 2026.

CBAM berperanan mengurangkan pelepasan karbon dengan mengenakan harga karbon ke atas barang diimport, dengan itu menambah tekanan pengawalseliaan terhadap perniagaan bagi menerima pakai amalan rendah karbon untuk kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Sebagai tindak balas kepada CBAM, Malaysia komited melaksanakan rejim cukai karbon menjelang 2026 seperti diumumkan melalui Belanjawan 2025, menggariskan keperluan untuk perniagaan beralih ke arah amalan perniagaan yang lebih mesra alam.

Cukai ini, mensasarkan industri pelepasan tinggi seperti besi, keluli dan tenaga, mencerminkan keperluan yang semakin meningkat bagi perniagaan tempatan untuk menyesuaikan diri dengan peraturan kemampanan dan permintaan pasaran yang semakin meningkat. 

“Dianggarkan bahawa kira -kira 75 peratus eksport negara ke Eropah akan dipengaruhi oleh CBAM,” katanya lagi.

“Jadi, jika pengeluar makanan halal gagal menangani isu-isu pelepasan, keupayaan mereka untuk mengakses pasaran Eropah akan dikenakan cukai, menjadikan produk mereka lebih mahal dan kurang kompetitif," jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa Eropah mewakili peluang pasaran yang signifikan untuk makanan halal, memandangkan permintaan yang semakin bertambah selain peningkatan jumlah imigran.

Bagaimanapun, perniagaan yang gagal mematuhi peraturan CBAM akan berhadapan risiko kehilangan akses ke pasaran ini.

"Menerima pakai amalan mampan membolehkan perniagaan mengintegrasikan ke dalam rantaian bekalan yang lebih hijau dan mengakses pasaran antarabangsa dengan peraturan alam sekitar yang ketat,” katanya.

"Oleh itu, amalan halal dan kemampanan tidak dapat dilihat secara berasingan, dan mereka harus dianggap sebagai faktor terpenting dalam kejayaan perniagaan,” tambahnya lagi.

 

Halal Hijau untuk PKS dan Syarikat

 

Rizal IL-Ehzan berkata konsep halal hijau adalah serba boleh dan terpakai kepada perniagaan daripada semua saiz dan industri tanpa mengira di mana mereka berada dalam perjalanan pematuhan halal atau kemampanan mereka.

Beliau berkata halal hijau menyediakan penyelesaian untuk perniagaan yang disahkan halal yang melangkaui pematuhan syariah dengan mengurangkan pembaziran, menjimatkan tenaga, dan menggunakan bahan-bahan mesra alam.

Perubahan ini meningkatkan daya saing dan menyediakan perniagaan untuk menghadapi cabaran seperti peningkatan kos atau risiko alam sekitar, tambahnya.

Bagi syarikat diperakui halal yang menyasarkan pasaran antarabangsa, beliau berkata konsep itu membantu mereka selaras dengan peraturan kemampanan, memastikan mereka mengelak daripada tarif, mengekalkan akses ke pasaran antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global.

Selain daripada pematuhan, penyepaduan amalan halal dan kemampanan dapat meningkatkan reputasi jenama dan memupuk hubungan jangka panjang dengan pihak berkepentingan yang mementingkan alam sekitar, katanya.

Beliau berkata perniagaan yang sudah komited terhadap kemampanan tetapi belum mematuhi halal boleh menggunakan halal hijau untuk berkembang ke pasaran baharu seperti makanan, kosmetik dan logistik, di mana permintaan terhadap produk halal semakin meningkat.

Menurut Halal Development Corporation, pasaran halal didorong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap produk-produk halal, kini dianggarkan bernilai lebih daripada US$3 trilion (US$1 = RM4.45) dan dijangka mencapai US$5 trilion menjelang 2030.

“Ini menyerlahkan daya tarikan globalnya yang didorong oleh sifat etika dan kemampanan yang kukuh.

"Kepimpinan Malaysia dalam sektor ini mencerminkan inovasi dan dedikasinya yang berterusan," katanya.

Beliau menegaskan dengan peningkatan kemewahan dan kuasa beli penduduk Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia, terdapat penekanan yang besar untuk memastikan bahawa apa sahaja yang mereka makan dan gunakan adalah halal.

Bagi syarikat yang baharu dalam bidang halal dan kemampanan, halal hijau menyediakan cara yang praktikal dan strategik bagi perniagaan untuk mula menyepadukan amalan halal dan kemampanan ke dalam operasi mereka.

"Ia memberikan perniagaan dengan langkah-langkah yang jelas dan mudah untuk menggabungkan amalan etika seperti sumber yang bertanggungjawab, pengurangan sisa, dan kecekapan tenaga tanpa membebankan perniagaan.

"Panduan ini memudahkan perniagaan untuk membina ke arah pematuhan piawaian halal dan matlamat ESG," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyelesaian perniagaan Alliance Islamic Bank, sila lawati www.alliancebank.com.my/Islamic/Business/Financing.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan