EKONOMI

BELIAN SEMASA HARGA MURAH DORONG BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

12/02/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu disokong oleh aktiviti pembelian semasa harga murah yang muncul, sekali gus membolehkan indeks utama kembali melepasi paras 1,590.

Pada pukul 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.10 mata kepada 1,596.05 daripada 1,589.95 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.37 mata lebih tinggi kepada 1,592.32.

Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 224 berbanding 119, manakala 300 kaunter tidak berubah, 1,675 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 195.84 juta unit bernilai RM128.46 juta.

Bursa Malaysia ditutup pada Selasa sempena cuti umum perayaan Thaipusam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan indeks FBM KLCI bergerak dalam julat 1,585 hingga 1,595 hari ini dengan tumpuan kekal terarah kepada saham mewah.

Beliau berkata petunjuk dari Wall Street pula tidak menentu kerana pelabur bimbang dengan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell bahawa peningkatan perang perdagangan global mungkin menggagalkan sebarang harapan untuk pengurangan kadar faedah.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot daripada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan ekoran kebimbangan mengenai tarif menyeluruh 25 peratus yang dikenakan ke atas import keluli dan aluminium oleh Trump yang bermula hari ini, selain kemungkinan kelewatan atau ketiadaan pengurangan kadar oleh Fed.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan pelabur juga akan memantau data inflasi utama meliputi Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar AS serta jualan runcit, untuk mendapatkan petunjuk sama ada Fed akan menyesuaikan pendiriannya dengan persekitaran inflasi yang tinggi.

Firma pembrokeran itu menambah walaupun tarif 25 peratus dikenakan Trump ke atas import keluli dan aluminium namun, pasaran mungkin mendapatkan peluang dagangan dengan peserta keluli tempatan kerana dasar itu dijangka memberi kesan terutama kepada peserta eksport.

“Pembelian semasa harga murah mungkin juga berterusan dalam sektor pembinaan, disokong oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, manakala pendapatan daripada saham rantaian bekalan pusat data dijangka dapat direalisasikan ketika musim pelaporan yang akan datang.

“Bagi belian bersifat konservatif, kami memilih sektor pengguna, perbankan, dan amanah pelaburan hartanah yang dijangka ‘outperform’ susulan ketidakpastian pasaran semasa, disokong oleh perolehan yang stabil dan pemulihan berterusan dari segi trafik pengunjung pusat beli-belah,” tambahnya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi perbankan iaitu Maybank dan RHB Bank masing-masing menambah lapan sen kepada RM10.54 dan RM6.56, manakala Public Bank naik dua sen kepada RM4.47.

Gamuda menokok 12 sen kepada RM4.60, dan YTL Power meningkat empat sen kepada RM3.46.

Antara kaunter aktif, Ingenieur Gudang, Silver Ridge dan Borneo Oil masing-masing kekal pada 5.5 sen, 54.5 sen dan 1.0 sen.

Harvest Miracle menambah setengah sen kepada 16.5 sen, dan MyEG naik dua sen kepada RM1.03.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 55.14 mata kepada 12,179.15; Indeks FBMT 100 meningkat 58.68 mata kepada 11,875.79; dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 57.45 mata kepada 11,991.51.

Indeks FBM 70 melonjak 141.34 mata kepada 18,077.87 dan Indeks FBM ACE turun 9.7 mata kepada 5,221.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 74.44 mata kepada 19,333.55, Indeks Tenaga naik 4.46 mata kepada 829.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 0.34 mata kepada 166.45, dan Indeks Perladangan menambah 47.65 mata kepada 7,448.39.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan