EKONOMI

PERANG TARIF AS PELUANG UNTUK KERAJAAN PERCEPAT REFORMASI EKONOMI - RAFIZI

13/02/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Ketidaktentuan ekonomi dunia ekoran langkah Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menaikkan tarif ke atas China, Kanada dan Mexico merupakan peluang untuk kerajaan mempercepat reformasi ekonomi.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kerajaan sedia maklum bahawa perkembangan dasar baharu di bawah pentadbiran Trump dijangka mempengaruhi ekonomi dunia dan menyebabkan ketidaktentuan sentimen pelaburan terutamanya dalam tempoh jangka pendek.

“Sudah tentunya Malaysia juga tidak terkecuali terutamanya kerana kita adalah sebuah negara dagang yang besar dan Amerika Syarikat pula adalah salah satu daripada rakan dagang terbesar kita.

“Di peringkat kerajaan, perkara ini dikendalikan secara bersepadu dan diteraju oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin mengetahui kesan perang perdagangan ke atas unjuran ekonomi Malaysia selepas langkah Trump menaikkan tarif ke atas China, Kanada dan Mexico.

Rafizi berkata dalam menangani ketidaktentuan yang berlaku kerajaan perlu peka kepada setiap perkembangan bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi juga negara lain agar dapat mengekalkan hubungan positif dengan rakan dagang. 

“Kalau ada apa-apa isu yang timbul kalaupun tidak terbabit dengan Malaysia, kerajaan perlu bertindak secara proaktif untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera dari satu isu ke satu isu supaya kita terus mengekalkan hubungan yang positif  dengan rakan dagang seperti Amerika Syarikat dan China.

“Tetapi pada masa yang sama, keutamaannya juga perlu diberi untuk mengukuhkan asas ekonomi kita, termasuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, melonjakkan aktiviti ekonomi ke peringkat nilai yang lebih tinggi dan terus melaksanakan dasar dan inisiatif yang mesra pelaburan dan mesra perniagaan,” katanya. 

Beliau berkata meskipun akan ada ketidaktentuan ekonomi akibat langkah kenaikan tarif tersebut dalam tempoh jangka pendek, namun keputusan pelaburan yang akan menjana daya saing ekonomi pada masa akan datang adalah keputusan jangka panjang.

“Jadi, kita perlu menangani sentimen pelaburan di pasaran saham dan juga mata wang kita untuk tempoh jangka pendek, tetapi keputusan pelaburan berbilion ringgit yang mewujudkan peluang pekerjaan yang akan terus memacu ekonomi untuk (tempoh) 5, 10, 15 tahun akan datang, ini adalah keputusan jangka panjang pelabur,” katanya. 

Menurut Rafizi, ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025 disokong oleh persekitaran luar yang stabil dan berdaya tahan serta jangkaan permintaan domestik dan keadaan pasaran buruh yang lebih baik.

“Unjuran ini selari dengan anggaran beberapa agensi antarabangsa termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa yang menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.7 peratus dan Bank Dunia menganggarkan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus bagi 2025,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan