PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, akan memberi penekanan kepada aspek pelaburan dalam aset bukan fizikal seperti bidang perisian, teknologi digital dan pembangunan modal insan.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pelaburan itu bertujuan mencipta dan melipatgandakan nilai bagi masa hadapan, dengan harapan dapat meningkatkan daya saing ekonomi negara.
“Insya-Allah RMK-13 akan menjadi yang terpenting dalam sejarah dan akan meletakkan Malaysia sebagai negara maju dalam menyediakan landasan-landasan penting dan menjadi masyarakat maju.
"Perkara paling penting untuk menjadi negara maju bukan sekadar pencapaian dari segi angka, (namun) melibatkan disiplin dalam perancangan jangka sederhana dan panjang yang dapat membantu proses membuat keputusan oleh semua pihak di pelbagai peringkat,” katanya semasa berucap pada sesi libat urus RMK-13 bertemakan Penjajaran Pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan, di sini hari ini.
RMK-13 merupakan kesinambungan daripada RMK-12 yang melibatkan tempoh 2021 hingga 2025.
Berikutan itu, Hanifah Hajar berkata RMK-13 akan dirangka dengan mengambil pendekatan sama seperti RMK Pertama yang lebih ringkas, menyeluruh dan mudah difahami oleh rakyat Malaysia.
"Kita akan menumpukan keutamaan cabaran ekonomi dan melaksanakan reformasi yang lebih radikal secara tersusun, membolehkan kerajaan tetap adaptif dan responsif terhadap keperluan rakyat," katanya.
Selain itu, RMK-13 akan turut menerapkan agenda pembangunan mampan menerusi rancangan pembangunan lima tahun negara.
Inisiatif-inisiatif berani dalam RMK-13 akan menerapkan agenda pembangunan mampan selaras dengan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memperkukuh rancangan pembangunan negara.
“Tempoh lima tahun terakhir Agenda Pembangunan Mampan 2030 (dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) adalah selari dengan tempoh RMK-13.
“Pelaksanaan RMK-13 juga perlu dilihat secara holistik kerana akan menjadi penentu kepada pencapaian SDG,” katanya.
Mengulas acara hari ini, Hanifah Hajar berkata keistimewaan sesi libat urus adalah bagi memberi ruang untuk mengetengahkan komitmen Malaysia terhadap SDG dalam pembangunan negara.
"Selain pendekatan ‘top-down’ (daripada kerajaan kepada rakyat), kita juga menggunakan ‘bottom-up’ dengan memberi peluang kepada pemegang taruh dan pihak berkepentingan melibatkan sektor swasta, industri, akademia, badan bukan kerajaan dan rakyat untuk memberi maklum balas," katanya.
-- BERNAMA