EKONOMI

KEMENTERIAN EKONOMI AKAN LANCAR PELAN HALA TUJU GAS ASLI PADA TAHUN INI - RAFIZI

13/02/2025 03:35 PM

Kementerian Ekonomi Akan Lancar Pelan Hala Tuju Gas Asli Pada Tahun Ini - Rafizi

 

(Memasukkan maklumat baharu mulai perenggan kelima dan seterusnya)

 

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Ekonomi akan melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Asli pada suku kedua atau ketiga 2025 dalam usaha meningkatkan pelaburan dalam sektor berkenaan, kata Menterinya Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk merangsang sumbangan gas asli bernilai RM52 bilion kepada pertumbuhan ekonomi menerusi pelan hala tuju itu.

“Kita mahu mengetengahkan pendirian kerajaan mengenai isu-isu kawal selia utama, memaparkan bagaimana halangan ini akan ditangani selain menggariskan peluang dalam membina infrastruktur gas yang teguh dan menjamin bekalan jangka panjang bagi Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2025) di sini, hari ini.

Sambil menyifatkan dorongan sedemikian sebagai penting, Rafizi berkata ini terutamanya mengambil kira aspek geopolitik tenaga selain keadaan pasaran gas global yang lebih berpecah berbanding minyak mentah.

Beliau berkata pelan hala tuju itu akan turut memberi fokus terhadap akses pembiayaan dan infrastruktur gas. 

“Menerusi usaha mengembangkan terminal dan saluran paip regasifikasi, kita mahu meningkatkan bilangan pekerjaan teknikal serta mengekalkan impak sosioekonomi industri,” katanya.

Pada masa sama, hala tuju yang jelas dan dasar kukuh kerajaan akan turut menambah keyakinan kepada sektor perbankan dan kewangan mengenai kepentingan sektor gas negara sebagai tulang belakang ekonomi negara. 

“Pelan Hala Tuju Gas Asli ini merupakan elemen penting perspektif tenaga untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.

Berikutan itu, beberapa perkara yang perlu kerajaan perhalusi, termasuk mekanisme pasaran gas dan pelaburan infrastruktur. 

Rafizi berkata ini penting bagi memastikan kesemua aspek berkaitan dapat dilaksanakan segera apabila pelan itu dibentangkan dan diluluskan.

Beliau turut menekankan kepentingan Malaysia untuk bersaing dengan trend lebih meluas, termasuk keperluan penjanaan alternatif lebih bersih selain menampung jurang berikutan ciri aliran tenaga boleh baharu (TBB) yang terputus-putus.

Unjuran campuran tenaga negara menunjukkan gas asli akan berkembang kepada 56 peratus menjelang 2050 iaitu lebih tiga kali ganda daripada sumbangan TBB Malaysia.

"Ada yang berkata gas asli hanyalah bahan api peralihan walaupun data menunjukkan sebaliknya. Bagi sebahagian besar Malaysia dan negara membangun, gas asli ini mungkin adalah bahan api destinasi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga komited terhadap usaha membangunkan industri gas asli sebagai bahan api peralihan.

Malaysia juga, katanya, tidak boleh menangguhkan usaha membina kapasiti TBB atau bertindak mengetepikan pandangan terhadap gas kerana aspek infrastruktur dan pembangunan pasaran terbabit memerlukan perspektif jangka panjang.

“Permasalahan sebenar terletak kepada bagaimana untuk tiba ke destinasi itu (apabila) simpanan gas asli yang semakin berkurangan," katanya. 

Keadaan itu, kata Rafizi, lebih sukar di Semenanjung Malaysia dan Sabah dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun masing-masing negatif 7.0 peratus dan negatif 4.0 peratus manakala Sarawak yang menyumbang 59 peratus daripada jumlah simpanan gas, mempunyai bekalan tinggi dan stabil.

“Ketidakpadanan dalam permintaan dan penawaran ini menimbulkan ancaman kepada keterjaminan gas kita.

“Memandangkan banyak medan gas Semenanjung Malaysia mencapai kematangan dan ruang terhad bagi penemuan baharu, kita perlu mengalihkan strategi (kepada) yang menjamin bekalan dengan mempelbagaikan sumber gas asli kita," katanya.

Beliau berkata, ini termasuk persediaan Semenanjung Malaysia dan Sabah meningkatkan import gas asli cecair (LNG).

“Walaupun kita maklum Malaysia adalah pengeksport LNG kelima terbesar hari ini, namun apa yang kurang diketahui adalah kita perlu menerima masa depan yang menyaksikan Malaysia sebagai pengimport bersih dalam tempoh 10-20 tahun akan datang.

“Inilah fungsi permintaan kita yang berkembang pada kadar lebih pantas daripada yang dapat ditampung oleh bekalan domestik. Berdasarkan konteks ini, ia hanya menjadikan liberalisasi gas yang dipertingkatkan itu bukan hanya pilihan dasar semata-mata, tetapi sesuatu yang perlu," katanya.

Rafizi berkata jika kerajaan berhasrat meliberalisasikan perkara itu secara beransur-ansur, ia perlu meneliti semula peraturan seperti kawalan harga dalam pasaran gas domestik.

Beliau berkata perbezaan harga LNG diimport juga menjadikan penyertaan dalam pasaran gas-kepada-tenaga sebagai tidak menarik dan kerajaan perlu membuat ujian tekanan ke atas infrastruktur untuk memastikan negara mempunyai kapasiti sewajarnya bagi penyertaan pihak ketiga.

Simposium sehari MyGAS 2025 dianjurkan oleh Persatuan Gas Malaysia dan bertemakan “Fuelling a Sustainable Gas Industry’s Transition” selain turut meninjau isu dan cabaran kritikal dihadapi industri gas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan