SHAH ALAM, 17 Feb (Bernama) -- Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menegaskan operasi pemeriksaannya dijalankan mengikut kaedah dan prosedur yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), susulan isu dibangkitkan Persatuan Lori Sibu semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata syarikat pemeriksaan kenderaan motor itu juga, tidak mempunyai kuasa untuk mengubah mana-mana kaedah atau syarat pemeriksaan yang telah ditetapkan, atau bakal berdepan dengan tindakan denda daripada JPJ.
“...walaupun terdapat pandangan bahawa pelekat berat muatan yang pudar tiada kaitan dengan keselamatan jalan raya, Puspakom tetap perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Semua pemilik kenderaan tahu apa syarat yang perlu dipatuhi. Jika mereka membawa kenderaan yang tidak mematuhi syarat untuk pemeriksaan, ini menunjukkan sikap sambil lewa mereka terhadap syarat dan kaedah yang telah dikuatkuasakan. Inilah masalah sikap yang kita perlu tangani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa sama turut berharap agar semua pihak terus memberikan kerjasama dalam menjamin keselamatan jalan raya menerusi pemeriksaan yang telus, profesional, dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Semalam, Setiausaha Persatuan Lori Sibu Augustine Paat menerusi sidang media meminta agar pemeriksaan yang lebih telus dijalankan Puspakom, ekoran aduan diterima ahlinya yang mendakwa digagalkan pemeriksaan akibat alasan yang tidak munasabah.
Augustine dilaporkan berkata antara aduan yang diterima ialah membabitkan pelekat berat muatan di sisi lori yang sudah pudar, turut menjadi sebab pemeriksaan gagal.
-- BERNAMA