AM

PROGRAM PELITA RAYA TAHUN INI LEBIH MERIAH DENGAN PENYERTAAN THAILAND, SINGAPURA

18/02/2025 11:02 AM

KUALA TERENGGANU, 18 Feb (Bernama) -- Program Pelita Raya Terengganu tahun ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan dari dua negara jiran.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata Singapura dan Thailand  telah bersetuju untuk menghantar wakil bagi memeriahkan program selama empat hari yang dijadualkan bulan depan itu.

Beliau berkata selain itu Kedah, Perlis dan Kelantan turut menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam program yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

"Thailand akan menghantar penyertaan dari wilayah Narathiwat dan Patani. Singapura juga berminat..  perbincangan lanjut dengan kedutaan negara itu akan diadakan minggu depan.

"Kita akan mengekalkan tradisi pemasangan pelita raya menggunakan minyak gas serta sumbu yang akan digabungkan dengan pelita elektronik bagi menjaga kelestarian alam sekitar," katanya ketika menghadiri Golden Snake Dinner 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (TCCCI) di sini.  

Sementara iitu Ahmad Ridzwan berkata Terengganu merekodkan kemasukan lapan juta pelancong dari dalam dan luar negeri sepanjang tahun lepas, namun daripada jumlah itu kedatangan pelancong asing dilihat masih rendah iaitu sekitar 40,000 orang.

"Kita akan mempergiatkan aktiviti promosi pulau peranginan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

"Tahun lepas hanya 40,000 pelancong asing termasuk dari China, Itali dan Perancis datang ke negeri ini. Ia suatu kerugian kepada sektor pelancongan Terengganu yang memiliki banyak produk untuk ditawarkan," katanya.

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan