KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- AEON Bank, bank digital Islam pertama di Malaysia, meningkatkan ciri keselamatannya dengan memperkenalkan Mobile Security Platform (MSP), teknologi perlindungan canggih yang direka bagi melindungi aplikasi perbankan mudah alih.
Dalam kenyataan hari ini, AEON Bank memaklumkan MSP menyediakan pemantauan berterusan terhadap potensi ancaman dan perisian hasad serta langkah proaktif bagi melindungi data pelanggan dan menjamin integriti perkhidmatan perbankan digitalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata keselamatan pelanggan terus menjadi keutamaan bank berkenaan sebagai insititusi yang sepenuhnya digital.
“Perlindungan data pelanggan kami adalah keutamaan utama AEON Bank sebagai sebuah bank digital sepenuhnya. Teknologi perlindungan MSP memainkan peranan penting dalam memberikan pengalaman perbankan digital yang selamat dan dipercayai.
“Kemustahakan utama kami ialah untuk memastikan bahawa pelanggan dapat terus menggunakan aplikasi AEON Bank dengan selamat dan dengan penuh yakin,” katanya.
Menurut kenyataan itu jika peranti itu dikesan mencurigakan sama ada disebabkan oleh jailbreaking, rooting, pengubahsuaian aturcara aplikasi, pemalsuan waktu proses, dan sebarang pengubahsuaian aplikasi daripada tetapan kilang asal yang melangkaui sekatan keselamatan, pengguna akan dimaklumkan dan akses ke aplikasi AEON Bank akan disekat sementara
Kenyataan itu memaklumkan langkah keselamatan tersebut dilaksanakan bagi mengelakkan kecurian data, pelanggaran keselamatan dan risiko akses tidak sah.
Menurut AEON Bank MSP tidak mengumpul, memproses atau menyimpan sebarang maklumat peribadi daripada peranti pelanggan.
Sebaliknya, ia menggunakan pendekatan berlapis yang memastikan pengesanan dan pemberitahuan ancaman, iaitu pelanggan akan menerima amaran dalam aplikasi jika peranti mereka dikesan mencurigakan, seterusnya sekatan akses sementara dikenakan.
Pelanggan boleh mendapatkan semula akses dengan menghapuskan ancaman keselamatan yang dikesan atau melaraskan tetapan peranti, iaitu dengan menetapkan semula peranti mereka ke tetapan kilang selepas membuat salinan data.
Setelah isu tersebut diselesaikan, mereka boleh melancarkan atau memasang semula aplikasi AEON Bank untuk meneruskan perkhidmatan perbankan dengan selamat.
Untuk maklumat lanjut mengenai teknologi perlindungan AEON Bank, layari laman sesawang AEON Bank.
-- BERNAMA