SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan fokus kepada perkara penting berhubung masa hadapan negeri dan rakyat sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini.
Baginda juga bertitah agar ADUN menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara remeh.
“Sidang DUN Selangor harus berlangsung dengan penuh berhemah dan bukannya menjadi medan untuk menabur fitnah, caci-mencaci dan berperangai tidak senonoh.
“Rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah-laku wakil rakyat yang mereka pilih. Beta mengucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli DUN Selangor,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin tiba di Dataran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada 9.15 pagi.
Turut berangkat pada istiadat berkenaan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Sultan Selangor turut berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum bergerak ke Dewan Negeri Selangor bagi istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor ke-15 tahun 2025.
Persidangan DUN Selangor dijadualkan berlangsung bermula hari ini hingga 21 Feb, 24 hingga 28 Feb serta 3 Mac.
-- BERNAMA