AM

PENYELESAIAN INOVATIF, MAMPAN PENTING BAGI PROJEK-PROJEK INFRASTRUKTUR, TANGANI CABARAN KOMPLEKS

18/02/2025 01:57 PM

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Inovasi dan kemampanan memainkan peranan penting dalam projek-projek infrastruktur negara, yang memerlukan kerjasama dalam kalangan profesional dan pihak berkepentingan untuk membangunkan penyelesaian bagi menangani cabaran yang kompleks seperti perubahan iklim dan kemajuan teknologi yang pesat.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sektor kejuruteraan struktural dan pembinaan kekal sebagai tonggak pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi yang amat diperlukan, yang membawa kepada pembinaan infrastruktur penting seperti jalan raya, jambatan dan bangunan, serta pelaksanaan projek berskala besar dan berteknologi maju.

Bagaimanapun beliau berkata sektor itu menghadapi isu yang semakin kompleks seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi yang pesat, dan permintaan kepada reka bentuk yang inovatif dan mampan, di samping mengekalkan nilai dan identiti negara, yang memerlukan kerajaan menggunakan pendekatan dan strategi baharu.

"Saya amat percaya bahawa usaha menjalin kerjasama yang lebih erat dalam kalangan profesional, ahli akademik dan pemain industri, terutamanya antara agensi kerajaan dan syarikat swasta, akan membolehkan kita memupuk ekosistem yang lebih teguh dan berdaya saing. 

“Ekosistem sebegini bukan sahaja perlu mengutamakan kemajuan ekonomi, tetapi juga memastikan keselamatan, kualiti dan kemampanan diterapkan dalam setiap usaha yang dilaksanakan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Kejuruteraan Struktur dan Pembinaan Asia Pasifik ke-11 2025 (APSEC) hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Eddy Tonnizam Mohamad.

Nanta berkata usaha ini secara kolektif akan menyumbang kepada pembinaan masa depan yang mesra alam, kalis masa depan, lebih selamat, lebih berdaya tahan dan mampan untuk rantau ini.

Beliau berkata APSEC 2025 sangat penting kerana persidangan itu menawarkan forum yang tidak ternilai untuk peneraju pemikiran, pengamal dan pihak berkepentingan untuk bekerjasama, berkongsi pandangan dan membangunkan penyelesaian bagi menangani cabaran kompleks dengan berkesan.

Nanta berkata persidangan itu akan memberi manfaat besar kepada peserta, syarikat dan negara, di samping mempromosi idea-idea inovatif untuk menambah baik amalan terbaik dalam kejuruteraan struktur dan pembinaan, di peringkat tempatan dan global.

ASPECS 2025 yang dianjurkan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, menggalakkan kerjasama yang lebih mendalam, mencetus inspirasi bersama dan strategi yang boleh dilaksanakan untuk memacu inovasi dan kemampanan dalam profesion kejuruteraan awam.

Dengan tema "Bridging Innovation and Sustainability for Tomorrow's Infrastructure", persidangan itu menghimpunkan pakar dari seluruh dunia untuk berbincang mengenai kemajuan dalam kejuruteraan struktural dan pembinaan, dengan penekanan kepada amalan-amalan yang mampan dan penyelesaian berinovasi bagi pembangunan infrastruktur masa depan.

Sementara itu Nanta berkata beliau menyambut baik cadangan ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda yang memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat forensik audit terhadap kontrak penyelenggaraan jalan di Sabah.

Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mempunyai program bersama SPRM untuk memastikan jalan-jalan diselenggara dengan baik, dan kekangan dalam melaksanakan penyelenggaraan dengan pantas adalah disebabkan oleh kewangan.

Bagaimanapun beliau berkata tidak ada kompromi dalam memastikan kualiti kerja pembinaan jalan mencapai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mana-mana kontraktor yang didapati gagal mematuhinya akan berdepan dengan tindakan tegas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan