POLITIK

MESYUARAT GRS AHAD INI BINCANG PEMBAHAGIAN KERUSI PRN SABAH - HAJIJI

18/02/2025 04:41 PM

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijadual mengadakan mesyuarat Ahad ini, antara lain bagi membincangkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor berkata mesyuarat itu juga akan meneliti gerak kerja persiapan PRN17 serta pelbagai isu berkaitan parti komponen gabungan berkenaan.

"Kita buat keputusan nanti … antara agenda (mesyuarat) adalah menentukan lokasi (pembahagian kerusi) untuk GRS," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek pembinaan loji penyimpanan dan penapisan minyak petroleum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

GRS merangkumi lapan parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan