AM

100,000 RAKYAT MISKIN, MISKIN TEGAR DI SABAH TERIMA MANFAAT SYUKUR

18/02/2025 06:41 PM

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) -- Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 atau SYUKUR melibatkan bantuan tunai RM300 setiap bulan pada tahun ini kepada penerima layak, bakal memanfaatkan 100,000 penerima miskin dan miskin tegar di Sabah.

Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu, akan dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Tuaran esok, membabitkan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar berdaftar dalam eKasih setakat Disember tahun lepas.

“Amaun pembayaran bagi program ini akan dibayar secara berfasa, dengan setiap fasa adalah dibayar secara lump-sum (sekali gus) bagi tempoh tiga bulan, iaitu RM900 dengan dikreditkan untuk mereka yang mempunyai akaun bank atau kepada penerima secara tunai.

“Objektif SYUKUR antaranya untuk meringankan beban kewangan penerima, menyokong golongan memerlukan agar dapat menjalani kehidupan lebih selesa, mengurangkan kadar kemiskinan dan sebagai tanda prihatin kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan agihan Fasa Satu bagi Januari hingga Mac bermula bulan ini, manakala Fasa Kedua April hingga Jun bermula April, Fasa Ketiga Julai hingga September pada September dan Fasa Keempat Oktober hingga Disember pada Oktober.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan