SHAH ALAM, 19 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan tiga daripada empat mangsa yang meninggal dunia semasa menghadiri sebuah konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 31 Dis lepas adalah akibat pengambilan dadah stimulan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia berdasarkan laporan patologi diterima dan pihaknya masih menunggu laporan seorang lagi mangsa untuk melengkapkan siasatan.
"Setakat ini 53 saksi telah dirakam percakapan dan siasatan masih diteruskan serta akan dirujuk kepada koroner setelah siasatan lengkap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang lagi mangsa masih berada di hospital dan dalam keadaan stabil serta memerlukan pemantauan rapi.
Sebelum ini Hussein dilaporkan berkata siasatan awal polis mendapati dua lelaki dan dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri sebuah konsert di Bandar Sunway, pada ambang tahun baharu disyaki mengambil dadah jenis ekstasi.
Selain empat mangsa terbabit, terdapat tiga lagi mangsa yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan mempunyai simptom sama seperti mangsa yang maut.
-- BERNAMA