KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua negeri yang dilanda bencana itu, meningkat setakat 8.30 malam ini.
Di PAHANG, mangsa banjir di daerah Bentong bertambah kepada 121 orang daripada 33 keluarga, berbanding 111 orang daripada 31 keluarga pada sebelah petang.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia, Bentong, iaitu terdiri daripada 78 individu dewasa, 38 kanak-kanak dan lima bayi.
Di NEGERI SEMBILAN, mangsa banjir di Jelebu meningkat 110 orang daripada 27 keluarga, berbanding 51 mangsa daripada 11 keluarga pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata hingga kini sebuah PPS dibuka iaitu di Dewan D'Sury, Jelebu bagi menempatkan mangsa dari Klawang dan Chennah yang terjejas.
Beliau berkata mereka terdiri daripada sembilan warga emas, 62 dewasa, 35 kanak-kanak serta empat bayi dari Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru, Taman Bandar Tinggi dan Kampung Sepri, Chennah.
"Keadaan cuaca sekarang adalah baik dan hujan telah berhenti, bagaimanapun anggota kita masih memantau paras air di kawasan sungai berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi menyelamatkan mangsa banjir melibatkan 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam, bomba (10), polis (13), JKM (lima) dan Regimen Askar Melayu Diraja (lapan).
-- BERNAMA