BENTONG, 20 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini menitahkan pihak berkaitan supaya mendalam dan melebarkan sungai di negeri ini bagi menampung peningkatan taburan hujan sekali gus mengelak daripada berlakunya banjir.
Baginda bertitah kerja-kerja mendalamkan sungai perlu dilakukan memandangkan keadaan sungai yang semakin cetek di beberapa daerah di negeri ini akibat daripada mendapan sehingga mendorong limpahan air sungai dan menjadi punca kepada berlakunya banjir.
“Saya ingin menyatakan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), Sungai Pahang memang begitu cetek ketika ini (dan) sebab itu saya tekankan bukan Sungai Pahang sahaja, sungai lain sekali pun selalu diingatkan perlu didalamkan supaya air tidak melimpah (peningkatan taburan hujan).
“Saya bimbang walaupun kita bina ban yang tinggi, semakin tahun paras pasir itu akan meningkat. Elok sebelum ditinggikan ban, dalamkan dulu sungai dan mungkin ini juga projek untuk orang kampung (Kampung Pasir Karak Setia),” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia di sini hari ini, yang turut dihadiri Wan Rosdy.
Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dan melawat keadaan Masjid Kampung Karak Setia dan kawasan sekitar kampung yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Hujan lebat berterusan sejak Selasa mengakibatkan dua pusat pemindahan sementara dibuka di Bentong dan Temerloh bagi menempatkan 178 orang daripada 54 keluarga dari Kampung Pasir Karak Setia, Perumahan Prima Karak dan Lanchang.
Baginda bertitah fenomena cuaca sekarang sudah jauh berbeza dan kerana itu, penyelesaian kepada masalah banjir perlu dilihat secara holistik dengan tidak hanya tertumpu kepada projek tebatan banjir, mendalamkan sungai tetapi pembinaan rumah di kawasan banjir juga perlu ditinggikan.
“Kita perlu semua itu, tebatan banjir ke, apa-apa projek atau program (yang mampu) mengurangkan kesan banjir besar. Namun, inisiatif sendiri kena buat dan saya juga masih lagi ingin menyatakan, rumah di tepi sungai (perlu) ditinggikan, biarlah berkaki.
“(Untuk Kampung Karak Setia), saya perhati kampung ini terletak di selekoh Sungai Bentong, mungkin kena buat satu (projek untuk) luruskan sungai supaya tidak berbentuk L. Sebab bila ada bentuk L, itulah yang menyebabkan air bertakung. Jadi, perlu kaji untuk jangka masa panjang,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah musibah banjir adalah ujian Allah dan tidak ada sesiapa yang seharusnya berdukacita dengan bencana itu dan sebaiknya menerima dugaan itu dengan ikhlas.
“Ujian ini adalah satu rahmat kepada kita semua. Pahang memang kita bersyukur kerana kita telah mempunyai jentera kerajaan yang sentiasa peka dengan masalah banjir daripada pihak saya, Istana, Tengku Mahkota (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah), Menteri Besar, memang sentiasa berada untuk beri bantuan dari segala aspek,” titah baginda.
-- BERNAMA