FOKUS BERNAMA

BIOPOLIOL SAWIT ALTERNATIF LESTARI, KURANGKAN KEBERGANTUNGAN NEGARA KEPADA POLIOL PETROLEUM

25/02/2025 09:40 AM


From Muhammad Basir Roslan

Poliuretana ialah bahan polimer serba guna yang digunakan secara meluas dalam pelbagai industri seperti automotif, pembungkusan dan pembinaan, dengan nilai pasaran globalnya dijangka mencecah lebih US$100 bilion menjelang 2030.

Penghasilan poliuretana pula memerlukan poliol, iaitu sebatian kima yang pada masa ini kebanyakannya dihasilkan menggunakan petroleum sekalipun telah ada alternatif bio dalam bentuk minyak sayur-sayuran.  

Di Malaysia, industri poliuretana yang pada masa ini mempunyai lebih 200 syarikat pengeluar, bergantung tinggi pada poliol berasaskan petroleum. Secara purata sebuah syarikat memerlukan sekitar 10 tan poliol setiap hari, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap poliol berasaskan petrolum amat signifikan.

Namun, kebergantungan tinggi industri pada sumber poliol petroleum menimbulkan cabaran berganda. Bukan sahaja harganya mahal, proses penghasilannya memberi kesan negatif terhadap alam sekitar. Tambahan pula produk ini diimport sepenuhnya dari negara luar seperti China, Australia, Jerman serta Jepun, seterusnya meningkatkan implikasi kewangan yang besar kepada negara.

Kebergantungan ini berlaku kerana Malaysia belum mempunyai prasarana penghasilan poliol sendiri walaupun kaya dengan sumber petroleum. Industri pengeluaran poliol memerlukan fasiliti canggih, pengurusan sisa yang efisien dan kepakaran sumber manusia yang tinggi. 

Selain itu, isu ketidaktentuan harga bahan mentah petroleum di pasaran global turut menjejaskan daya saing industri tempatan.

 

ALTERNATIF MESRA ALAM

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada poliol petroleum, penghasilan biopoliol berasaskan sawit muncul sebagai inovasi berpotensi besar. Biopoliol sawit dihasilkan daripada minyak sawit atau terbitannya seperti minyak isirung sawit, menawarkan alternatif lestari mesra alam, sumber bahan boleh baharu dan keupayaan mengurangkan jejak karbon.

Di Malaysia, kajian mengenai biopoliol sawit bermula pada 1999, diterajui oleh pensyarah kanan di Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Khairiah Badri.

pic-2

Menerusi kajiannya, beliau berjaya mengeluarkan kira-kira 500 kilogram biopoliol sawit menerusi loji pandu pada 2014 selepas melalui beberapa peringkat pengesahan dan kajian kebolehpasaran.

Berkongsi pencapaian penyelidikannya dengan Bernama, Khairiah berkata antara cabaran utama di peringkat awal ialah menstabilkan struktur kimia biopoliol sawit agar sesuai digunakan dalam penghasilan poliuretana.

“Selepas pelbagai ujian dan penambahbaikan, biopoliol sawit yang kita hasilkan kini mempunyai ciri-ciri yang setanding dengan poliol petrolum,” katanya.

Selain itu, pakar penyelidik ini juga merupakan perintis dalam penghasilan biopoliol menerusi proses satu langkah (one-pot process) yang mengambil masa tidak sampai tiga jam.  

“Keunikan biopoliol sawit terletak pada sifatnya yang kalis api, menjadikannya bahan pilihan dalam industri pembuatan poliuretana untuk aplikasi seperti penebat bangunan dan kusyen keselamatan. Formulasi khasnya membentuk biopoliol poliester yang bersifat merencat api, menjadikannya alternatif lebih selamat dan lestari,” jelas beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, bahan tersebut juga berpotensi digunakan dalam industri kulit sintetik untuk aksesori perabot dan komponen kenderaan. Sifatnya yang tahan lasak dan fleksibel dapat memenuhi permintaan terhadap produk berkualiti tinggi yang selari dengan piawaian kelestarian global.  

Selain itu,  kos pengeluaran biopoliol sawit satu pertiga lebih rendah berbanding harga biopoliol petroleum yang dijual RM12 hingga RM15 sekilogram, sekali gus mengurangkan keperluan import poliol petroleum.

Penghasilan biopoliol sawit juga berpotensi meningkatkan nilai industri hiliran sawit Malaysia dan membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor kimia hijau, katanya.

 

KUKUHKAN EKONOMI DOMESTIK, GLOBAL

Menurut Khairiah, biopoliol sawit kini muncul sebagai alternatif lestari dalam industri Coating, Adhesive, Sealants dan Elastomers (CASE). Sebagai contoh, dalam aplikasi salutan (coating), biopoliol berfungsi sebagai lapisan kalis air bagi papan serpai dan papan panel, menjadikannya lebih tahan lama.

“Bagi penggunaan perekat (adhesive) contohnya, industri sering bergantung pada gam biasa atau epoksi untuk menyambungkan substrat seperti logam, plastik ataupun kayu. Namun, epoksi mengandungi pelarut meruap yang membebaskan gas toksik dan berisiko kepada kesihatan. Biopoliol menawarkan alternatif perekat tanpa bau dan lebih selamat dengan daya lekatan yang lebih kuat. Teknologi ini bukan sahaja menyelesaikan masalah industri yang kekurangan perekat/gam terkhusus, tetapi juga mengurangkan kebergantungan pada bahan kimia berbahaya,” tambahnya lagi.

pic-3

Keunikan biopoliol sawit turut terletak pada kestabilannya dalam pelbagai suhu, menjadikannya sesuai untuk pasaran antarabangsa, termasuk negara beriklim sejuk.

“Minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit biasanya membeku pada suhu bilik, tetapi setelah diproses menjadi biopoliol, ia kekal dalam keadaan cecair dengan kandungan 95 peratus asid lemak aktif dan lima peratus sahaja bahan tambahan,” jelas beliau.

Selain itu, biopoliol kini boleh digunakan sebagai pengganti bahan berasaskan getah, simen dan kayu, termasuk dalam pembuatan wainscoting, hiasan dinding seperti kornis dan komponen seni bina lain. Berbanding plaster simen yang berat dan mudah pecah, biopoliol menawarkan alternatif yang lebih ringan, tahan lasak, dan mudah dipasang, katanya.

Kelebihan biopoliol sawit ini turut membuka peluang dalam industri kraf tangan seperti penghasilan tulisan khat dengan mempercepat proses ukiran menggunakan acuan, sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran, kongsi beliau.

 

CABARAN DAN POTENSI PENGKOMERSIALAN

Walaupun menjanjikan potensi ekonomi yang besar, Khairiah berkata pengkomersialan biopoliol sawit dikekang oleh beberapa cabaran, antaranya modal awal yang tinggi untuk membangunkan kebuk tindak balas bagi penghasilan biopoliol sawit pada skala lebih besar dan memenuhi piawaian antarabangsa.

Oleh itu katanya, demi memastikan kejayaan pengkomersialan biopoliol sawit, beberapa strategi perlu dipertimbangkan termasuk  pelaburan dalam fasiliti pengeluaran berskala besar perlu dipertingkat untuk memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa.

pic-4

“Bukan itu sahaja, usaha perlu dipergiatkan lagi untuk mendapatkan pensijilan antarabangsa seperti Registration, Evaluation, Authorisation and Restriction of Chemicals (REACH) di Eropah; Toxic Substance Control Act (TCSA) serta peraturan Environmental Protection Agency (EPA) di Amerika Syarikat. Pada 2022, biopoliol sawit telah diiktiraf oleh Betalab Amerika Syarikat sebagai  piawaian USDA Certified Biobased Products.

“Kolaborasi antara universiti, industri dan agensi kerajaan juga perlu terus diperkukuhkan bagi mempercepat pemindahan teknologi dan pembangunan produk berasaskan biopoliol,” cadang beliau.

Setakat ini, loji pandu yang diselia oleh syarikat pemula UKM di pekan Bangi Lama, Selangor, mampu menghasilkan satu tan biopoliol sawit sehari dan mereka sedang berusaha memperbesar skala pengeluaran ke empat tan sehari dengan Dana Pembangunan Perniagaan Innovathon oleh CradleFund, melalui sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Berkongsi tentang potensi pasaran tempatan, Khairiah berkata pada masa ini sekitar 80,000 tan sebulan diperlukan hanya untuk segmen busa poliuretana tegar, tidak termasuk industri lain yang berkemungkinan memerlukan jumlah lebih besar.

“Loji kami hanya menampung sebahagian daripada keperluan beberapa pengeluar produk poliuretana tegar tempatan yang tertarik dengan kelebihan biopoliol sawit keluaran kami.

“Antaranya, sebuah syarikat tempatan di Taman Perindustrian Pak Chun, Shah Alam yang mengeluarkan panel penebat haba bagi pembinaan bilik sejuk beku, menyatakan kekaguman bagaimana biopoliol sawit yang digunakan kalis api dan memerlukan amaun yang kurang semasa pemprosesan produk berbanding poliol petroleum.

“Pengeluar penebat bumbung di Bukit Beruntung, Rawang pula berpendapat sudah tiba masanya Malaysia mempunyai kilang penghasilan biopoliol sendiri selepas mendapati produk poliuretana yang dihasilkan adalah mudah diproses kerana tidak likat berbanding poliol petroleum,” kata beliau.

Menurutnya, beliau yakin biopoliol sawit mampu menguasai sekurang-kurangnya lima peratus daripada pasaran tempatan menjelang 2030.

 “Perancangan masa depan kami ialah membesarkan skala pengeluaran dan mengembangkan aplikasi ke bidang lain seperti perekat, salutan dan busa fleksibel. Kami mengalu-alukan lebih ramai pelabur untuk mencapai misi ini,” tambah beliau.

Jika dikembangkan secara strategik, beliau percaya Malaysia bukan sahaja dapat menggantikan poliol petroleum di pasaran domestik, malah memperluaskan eksport ke peringkat antarabangsa. Langkah ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama pengeluaran biopoliol sawit di rantau ASEAN.

“Justeru, Malaysia perlu menyediakan sokongan fasiliti pemprosesan biopoliol berskala besar bagi memudahkan proses eksport. Langkah ini bukan sahaja membolehkan Malaysia mengekalkan hak pemilikan intelek, malah mampu meletakkan Malaysia di barisan hadapan industri kimia hijau dunia di rantau ini,” ujarnya.

 

PENERAJU INDUSTRI HIJAU GLOBAL

Penggunaan biopoliol sawit turut selari dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam mempromosikan industri mesra alam dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida. Dalam jangka masa panjang, inisiatif ini boleh menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Menurut Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM Prof Dr Ishak Ahmad, biopoliol sawit bukan sekadar satu alternatif tetapi satu peluang besar bagi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam teknologi hijau global. 

“Kami mahu masyarakat melihat minyak sawit bukan hanya sebagai komoditi mentah, tetapi sebagai bahan asas untuk produk berteknologi tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Beliau percaya dengan sokongan dasar yang kukuh, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta, Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju dalam industri bahan hijau berasaskan sawit.

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan