JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS PEGAWAI BANK MENGAKU TIDAK BERSALAH MINTA RASUAH LEBIH RM150,000

25/02/2025 12:45 PM

MELAKA, 25 Feb (Bernama) -- Seorang bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas 26 pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM153,622.47 daripada sebuah firma guaman dari 2018 hingga 2023.

Mohd Rais Mohamed Ramli, 44, didakwa meminta suapan berkenaan sebagai suatu dorongan untuk membantu firma guaman itu diberikan rujukan-rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dengan sebuah bank oleh pegawai eksekutif bank yang berkhidmat di bawah seliaannya.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Plaza Mahkota di sini antara 1 Jan 2018 hingga Dis 2023.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada Mahkamah Shah Alam dan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor sebulan sekali, sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Andrew Lourdes yang mewakili Mohd Rais, memohon agar jaminan dikurangkan kerana Mohd Rais tidak lagi bekerja sejak setahun lepas dan kini menggunakan wang simpanan untuk menyara keluarga.

Hakim Elesabet Paya Wan kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM37,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan selain menetapkan 9 April untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan