SERDANG, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 13,000 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia menjelang hujung tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata setakat ini 11,700 kaunselor sudah berdaftar dengan lembaga itu.
“Kaunseling bukan sesuatu yang baharu dan permintaannya kini sangat tinggi berikutan pelbagai isu yang berlaku di negara ini, terutama pasca-COVID-19 dan dengan pendedahan di media sosial membuatkan banyak permintaan (untuk perkhidmatan kaunseling),” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Kaunseling Sedunia (WCC) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadulla dan Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Professor Dr Othman Mohamed.
Nancy berkata secara purata, pusat panggilan Talian Kasih 15999 yang dikendalikan kementerian menerima 500 panggilan sehari dan antara aduan yang diterima melibatkan kes dera serta tekanan perasaan.
Sementara itu, mengenai persidangan tiga hari yang bermula semalam, Nancy berkata kaunselor tempatan berpeluang bertukar pandangan dengan rakan mereka dari luar negara dalam pelbagai aspek melibatkan kaunseling.
“Mereka boleh berkongsi pengetahuan dengan peserta dari pelbagai negara dengan mengambil kira etika dan teknologi, bermaksud mereka sentiasa meningkatkan diri berasaskan keperluan masyarakat atau isu-isu di negara mereka,” katanya.
Persidangan itu yang dianjurkan secara bersama antara KPWKM melalui Lembaga Kaunselor Malaysia dengan UPM dan Open University Malaysia, telah menghimpunkan profesional kaunseling, pendidik, penyelidik dan pelajar untuk membincangkan isu, perkembangan serta penyelidikan terkini dalam bidang kaunseling.
Ia juga merupakan platform bagi para akademik, kaunselor dan ahli psikoterapi mendapatkan pendedahan tentang ilmu selain memperkukuhkan jaringan hubungan sedia ada dan membina rangkaian baharu dengan pakar bidang dari dalam serta luar negara.
Persidangan itu disertai 401 peserta secara fizikal dan dalam talian, selain delegasi dari Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Maldives, United Kingdom, Hong Kong dan China.
-- BERNAMA