NEW YORK, 25 Feb (Bernama-dpa) -- Sepasukan penyelidik antarabangsa menganalisis data yang dikumpul daripada perayau atau rover “Zhurong” milik China menemukan bukti menunjukkan bahawa planet Marikh pernah memiliki pantai, lautan dengan ombak dan angin, menurut kajian yang diterbitkan pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penyelidik dari universiti di Amerika Syarikat dan China mengkaji data dikumpulkan oleh “Zhurong”, yang mendarat di kawasan dikenali sebagai Utopia Planitia pada 2021.
“Zhurong” ditugaskan untuk mencari tanda-tanda kewujudan air atau ais di Marikh, selain mengumpul data geologi persekitarannya menggunakan radar frekuensi rendah dan tinggi.
"Kami mencari kawasan di Marikh yang kelihatan seperti pantai dan delta sungai purba.
"Kami menemukan bukti angin, ombak, pasir dalam jumlah yang banyak—seolah-olah seperti pantai percutian sebenar," kata penulis bersama kajian itu, Benjamin Cardenas yang juga merupakan penolong profesor geologi di Universiti Penn State, AS.
Menurut kajian “Proceedings of the US National Academy of Sciences”, pelbagai pemerhatian mencadangkan sejumlah besar air pernah wujud di permukaan Marikh, namun sifat serta keberadaan air masih menjadi persoalan.
"Penemuan ini menunjukkan kewujudan air pada masa lalu, menyokong hipotesis bahawa lautan pernah meliputi dataran utara Marikh," jelas penyelidik dalam kajian itu.
Cardenas berkata data yang diperoleh menunjukkan deposit sedimen bawah tanah mempunyai lapisan struktur serupa dengan pantai di Bumi, termasuk cerun yang seakan menghala ke lautan.
"Ini terus menarik perhatian kami kerana ia mencadangkan kewujudan ombak, yang bermakna terdapat interaksi dinamik antara udara dan air," katanya.
Michael Manga dari Universiti California, Berkeley pula berkata radar imbasan bawah tanah yang digunakan Zhurong membolehkan penyelidik melihat lapisan bawah permukaan Marikh, sekali gus membuka peluang baharu dalam kajian geologi planet itu.
"Semua kemajuan teknologi ini memungkinkan kami mendedahkan pelbagai maklumat baharu mengenai Marikh," katanya.
-- BERNAMA-dpa