KUCHING, 25 Feb (Bernama) -- Sarawak kekal berpegang teguh dengan dasar penyahkarbonan dan kelestarian, memainkan peranannya dalam perjuangan memerangi perubahan iklim demi kepentingan umat manusia sejagat.
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak telah mengamalkan pemikiran progresif dan mempercayai pengurangan emisi tidak seharusnya mengorbankan kemajuan ekonomi.
“Sebaliknya, kami melihat inisiatif karbon sifar bersih sebagai pemangkin untuk pembangunan lestari dan peluang ekonomi baharu.
“Ini termasuk pelaksanaan rangka kerja pengawalseliaan seperti pelaporan mandatori emisi karbon untuk perniagaan dalam sektor-sektor ekonomi yang dijadualkan, menetapkan ambang emisi dan memperkenalkan levi karbon bagi mereka yang melebihi had ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Majlis Industri Tenaga (EIC) Connect Energy Borneo 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata bagi mencapai visi ini, komitmen jangka panjang diperlukan untuk menarik pelaburan dalam teknologi baharu sambil memastikan bekalan tenaga yang stabil ketika Sarawak bergerak menuju pelepasan karbon sifar.
“Peralihan Sarawak kepada tenaga bersih bermula pada 1980-an dengan ekonomi berasaskan sumber yang memberi tumpuan kepada minyak, gas, kayu balak dan minyak sawit.
“Pada dekad 2000, kami beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, memanfaatkan potensi hidroelektrik yang luas melalui projek-projek seperti Empangan Bakun, Murum dan Baleh,” katanya.
Beliau berkata pembangunan ini yang sebahagiannya daripada inisiatif Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), telah mendorong negeri ini ke arah pertumbuhan yang lestari dan dipacu oleh pelaburan.
Sementara itu, EIC Connect Energy Borneo 2025 dalam kenyataan sempena acara itu menekankan fokus terhadap penyahkarbonan dan pembangunan lestari, selari dengan matlamat tenaga jangka panjang Malaysia dan Agenda Tenaga Hijau Sarawak.
Acara berkenaan juga menyaksikan pertukaran tujuh memorandum persefahaman (MoU) bernilai lebih RM200 juta, menonjolkan kerjasama strategik yang kukuh dan sokongan penting dalam sektor tenaga di Sarawak dan sekitarnya.
-- BERNAMA