AM

UTP, NEW ENERGY CENTRE MALAYSIA BEKERJASAMA DALAM PENYELIDIKAN MIKROALGA

26/02/2025 09:46 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan New Energy Centre Malaysia Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam penyelidikan teknologi mikroalga, menumpukan kepada pembangunan biobahan api lestari dan inisiatif pengurangan karbon.

MoU berkenaan ditandatangani Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Pegawai Ekosistem New Energy Centre Malaysia Jean Tan Xiao Xuan.

Kerjasama itu merangkumi projek penyelidikan bersama, program mobiliti pelajar dan petugas, serta integrasi kepakaran UTP dalam penyelidikan mikroalga dengan keupayaan industri oleh New Energy Centre Malaysia.

Mohamed Ibrahim berkata kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam memajukan inovasi, kelestarian dan penyelidikan yang didorong industri.

"Kami berterima kasih atas komitmen New Energy Centre dan teruja dengan potensi masa depan kerjasama ini. Bersama-sama, kita dapat membuat kemajuan besar dalam teknologi hijau, pertukaran ilmu dan penyelidikan yang memberi impak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Ibrahim berkata penyelidikan mikroalga, bidang utama Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) – Pusat Penyelidikan Biofuel dan Biokimia UTP, memainkan peranan penting dalam memajukan penghasilan biobahan api boleh baharu.

"Hal ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap pengurangan karbon dan menyokong Petronas dalam mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050," katanya.

Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang merupakan alternatif untuk mengurangkan pelepasan dalam industri penerbangan.

Perkongsian ini juga dijangka dapat meningkatkan keterlihatan UTP dalam bidang tenaga boleh baharu, menggalakkan lebih banyak kerjasama dan mempercepat pengkomersialan biobahan api berasaskan mikroalga seterusnya menyumbang kepada masa depan lebih hijau untuk Malaysia dan komuniti global.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan