BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

SARAWAK PERLUKAN TENAGA KERJA MAHIR UNTUK MENYOKONG AIRBORNEO - ABANG JOHARI

26/02/2025 04:05 PM

KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Sarawak memerlukan tenaga kerja berkemahiran untuk menyokong penubuhan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tenaga kerja berkebolehan amat penting bagi memastikan kelancaran operasi syarikat penerbangan itu.

"Kita bukan sahaja memerlukan juruterbang tetapi juga jurutera untuk menyenggara enjin pesawat. Kita juga memerlukan petugas pengendalian darat dengan teknologi terkini untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar," katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapan beliau pada Majlis Konvokesyen Kesembilan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.

Kerajaan Sarawak pada 12 Feb telah memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.

Sementara itu, Abang Johari berkata alasan Sarawak mahu memiliki sebuah syarikat penerbangan adalah kerana negeri ini terletak di pulau Borneo yang hanya boleh diakses ke dunia luar melalui udara dan laut.

"Kita tidak boleh membina jambatan merentasi Laut China Selatan dari Kuching ke Singapura atau Kuala Lumpur. Itulah sebabnya kita memerlukan 'jambatan itu' yang dipanggil AirBorneo.

"Pada peringkat awal, kami akan terbang ke Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta, dan kemudian kami akan mengembangkan laluan ke destinasi lain secara berperingkat, termasuk Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong. Ini akan membolehkan orang ramai datang ke Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan