ARAU, 26 Feb (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggariskan lima langkah yang boleh diambil untuk menarik minat generasi Z menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS).
Baginda bertitah lima langkah itu ialah sesuaikan program dengan nilai dan minat generasi Z; aktiviti fizikal yang menarik; menerapkan unsur kreativiti dalam latihan; penglibatan langsung dengan masyarakat dan penglibatan dalam perancangan serta keputusan.
"Cabaran digital masa kini mencerminkan generasi yang pantas beradaptasi dan menginginkan hasil yang segera. Oleh itu, pendekatan yang lebih segar, inovatif dan selari dengan perkembangan semasa mampu menarik minat generasi ini untuk terus menyertai Kor SUKSIS serta memberi pengalaman yang bermakna buat mereka," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik Kor SUKSIS Universiti Awam peringkat kebangsaan Edisi 2.0 di UniMAP di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
Baginda bertitah generasi Z merupakan bakal pemimpin masa hadapan dan merupakan aset negara yang penting khususnya dalam ekonomi digital dengan kemahiran teknologi yang tinggi, pemikiran kritis dan kreativiti yang luar biasa.
"Saya percaya dengan mengikuti langkah-langkah ini, Kor SUKSIS pasti menjadi lebih relevan kepada mereka dan dengan pendekatan inklusif dan fleksibel dapat mengimbangi generasi ini dari segi struktur dengan fleksibiliti, disiplin dengan empati dan tradisi dengan kemodenan," titah baginda.
-- BERNAMA