AM

MAJLIS MEDIA TINGKAT KEYAKINAN, KUKUH EKOSISTEM MAKLUMAT DAN LINDUNGI KEBEBASAN MEDIA

27/02/2025 12:32 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini diharap dapat meningkatkan keyakinan terhadap ketelusan media, mengukuhkan ekosistem maklumat dan melindungi kebebasan media.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan beberapa pertubuhan dan gerakan media antaranya Centre for Independent Journalism (CIJ), perkara ini penting memandangkan dunia ketika ini dicemari dengan pelbagai maklumat tanpa batas.

“Tatkala persekitaran media sering dicemari penyebaran maklumat palsu dan ucapan kebencian, laporan tidak beretika yang didorong oleh perkauman, fanatisme, misogini, atau xenofobia serta penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma demi memaksimumkan keuntungan ekonomi, MMM ‘datang’ tepat pada masanya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berharap kerajaan meletakkan keutamaan dari segi penglibatan dan penyertaan penuh warga media dalam majlis itu, terutama ketika membuat dan menentukan keputusan penting demi masa depan industri.

 Penubuhan MMM secara langsung akan membuka ruang serta platform dengan seluruh pengamal media, industri media serta kerajaan dapat duduk bersama, berbincang dan mencari penyelesaian, di samping merangka hala tuju untuk masa depan dunia kewartawanan di Malaysia, menurut kenyataan itu.

Industri media Malaysia mencipta sejarah apabila Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.

GKMM dalam pada itu, berharap penubuhan majlis berkenaan dapat meredakan pelbagai isu kebajikan yang melingkari dan membelenggu pengamal media, dengan mengambil perhatian dan tindakan segera sekali gus ditangani sebaiknya. 

 “Kami berharap agar MMM akan mengutamakan kebajikan pekerja media di samping menuntut syarikat media agar bertanggungjawab terhadap amalan buruh yang tidak adil.

“Dalam kata lain, MMM seharusnya memastikan syarikat media menegakkan standard penggajian yang beretika, melindungi hak wartawan, serta memastikan industri media di Malaysia adalah lestari, adil, dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Gerakan Media Merdeka (GERAMM) pula berpandangan, walaupun terdapat beberapa perkara dalam struktur dan fungsi MMM yang masih menjadi tanda tanya serta menimbulkan kebimbangan, gerakan itu melihat penubuhan ini sebagai langkah awal ke arah sistem kawal selia kendiri yang lebih baik untuk industri media di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan