LANGKAWI, 26 Feb (Bernama) -- Orang ramai dipelawa hadir ke Balai Seni Negara (BSN) di sini untuk merasai sendiri keindahan karya ilustrasi botani yang menyatukan elemen seni, sains dan alam semula jadi.
Pengarah BSN Langkawi Zaslan Zeeha Zainee berkata setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar menampilkan keindahan tumbuhan secara visual, tetapi turut memperincikan bentuk, struktur dan ciri unik seperti daun, bunga, buah serta biji benih.
"BSN Langkawi membuka tirai 2025 dengan Program Ilustrasi Botani: Rasa Alam iaitu sebuah inisiatif yang menggabungkan seni, sains dan teknologi dalam konteks alam semula jadi.
"Program selama lapan hari yang bermula pada 19 Feb lepas mengetengahkan kekayaan biodiversiti Pulau Langkawi serta memberi tumpuan kepada flora tempatan yang bukan sahaja menjadi sebahagian daripada ekosistem, malah merupakan warisan budaya masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi pratonton hasil karya ilustrasi botani di BSN di sini, hari ini.
Menurut Zaslan Zeeha sebanyak 28 karya terdiri daripada 24 ilustrasi botani atas kertas, dua arca dan dua animasi AR dipamerkan di BSN di sini, bermula hari ini hingga 31 Julai.
"Seramai 14 artis jemputan terlibat dalam menghasilkan karya ilustrasi botani berdasarkan pemerhatian langsung di Hutan Lipur Lubuk Semilang dan Trail Hutan Hujan, Ayer Hangat," katanya.
Artis yang terlibat ialah Bayu Utomo Radjikin, Dr Zaimie Sahibil, Dr Hushinaidi Abdul Hamid, Dr Zainuddin Abidinhazir @ Abd. Rashid, Zaharuddin Sarbini, Jamal Tumiran, Hashim Man, Rohaizad Shaari, M. Aminuddin Osman, Leong Sok Yeng, Yeo Eng Peng, Mohammad Shahrin Shaari, Syahrudin Ishak dan Abu Shukran Md Salleh.
Beliau berkata, selain berkarya, mereka juga berkongsi ilmu dan perspektif, sekali gus menjadikan program itu bukan sekadar eksplorasi seni, malah sebagai wadah pendidikan yang memperkaya pemahaman tentang hubungan manusia dengan alam.
"Pameran ini bukan sekadar apresiasi terhadap seni ilustrasi botani, tetapi juga sebuah pengalaman yang mengajak pengunjung menghayati rasa alam, bukan hanya dari sudut visual, tetapi juga melalui pemahaman lebih mendalam tentang flora Langkawi dan peranannya dalam kehidupan seharian," katanya.
Selain itu, katanya pameran tersebut juga menjadi wadah kolaborasi merentas bidang bagi memperkukuh kesedaran tentang pemuliharaan biodiversiti serta kepentingan flora dalam ekosistem dan warisan budaya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi atau melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my.
-- BERNAMA