KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Bank digital Islamik pertama di Malaysia, AEON Bank dinobatkan sebagai pemenang untuk dua anugerah berprestij di Islamic Finance News (IFN) Awards, baru-baru ini.
Dalam kenyataannya hari ini, AEON Bank (M) Bhd berkata dua anugerah itu adalah ‘Best Islamic Digital Bank (Global)’ dan ‘Best Islamic Digital Offering by a Bank (Malaysia)' yang merupakan sebahagian daripada Tinjauan Bank Terbaik IFN.
Bagi edisi kali ini, lebih 17,500 undian diterima untuk masing-masing 13 kategori global dan empat kategori domestik meliputi Anugerah Bank Terbaik, Anugerah Institusi Kewangan Bukan Perbankan, Anugerah Undang-Undang, Anugerah Penyedia Perkhidmatan dan Anugerah Urus Niaga Terbaik.
“Secara keseluruhan, sebanyak 101 pemenang diraikan dalam dua majlis berlangsung di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 Feb, 2025 dan di Kuala Lumpur pada 20 Feb, 2025.
“Anugerah tahun ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan pelbagai calon, dengan pencalonan dari Timur Tengah mendominasi senarai,” katanya.
Selain itu, AEON Bank kini menawarkan produk dan perkhidmatan digital perbankan peribadi, termasuk Akaun Simpanan-i, Kad Debit Visa AEON Bank-i, ‘Savings Pots’ dengan ciri-ciri simpanan optimum, perkhidmatan pembayaran digital bersama rakan strategik seperti DuitNow oleh PayNet, pembayaran bil utiliti serta analisis perbelanjaan berasaskan AI.
“AEON Bank turut memperkenalkan Neko Missions, program ganjaran interaktif pertama di Malaysia, serta program kesetiaan Mata Ganjaran AEON yang diintegrasikan dalam ekosistem runcit AEON.
“Dalam masa terdekat, AEON Bank akan memperkenalkan lebih banyak produk perbankan peribadi dan perkhidmatan perbankan perniagaan untuk usahawan tempatan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, AEON Bank akan terus menghasilkan produk baharu demi memberi perkhidmatan kepada demografik yang lebih luas, sambil memfokuskan kepada pengalaman digital yang mesra pengguna serta interaksi pelanggan dalam talian.
“AEON Bank komited untuk membina masa depan kewangan yang lebih inklusif, membantu rakyat mencapai kebebasan ekonomi dan menyumbang kepada industri perbankan Islam yang berasaskan teknologi kewangan (fintech) di rantau ini serta mengembangkan ekonomi digital negara,” katanya.
-- BERNAMA