SATUN, (Thailand) 28 Feb (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru umat Islam agar menitikberatkan aspek perpaduan dengan saling menyokong dan bertolak ansur sebagai satu ummah serta menjauhi perpecahan.
Baginda bertitah umat Islam tidak boleh membiarkan sebarang perbezaan kecil menjadi punca persengketaan sebaliknya perlu mengutamakan nilai persaudaraan dan kasih sayang.
"Untuk itu, saya menyeru agar kita semua memanfaatkan Ramadan kali ini dengan sebaik-baiknya. Tingkatkan amal ibadah, perbaiki hubungan sesama manusia, dan sebarkan kasih sayang dalam masyarakat terutamanya kita di Perlis, Malaysia dan di Wilayah Satun, Thailand ini," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Chalong di sini sempena Program Ziarah Mahabbah Ihyak Ramadan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Raja Muda Perlis ke Wilayah Satun 2025 di Masjid Chalong hari ini
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada majlis ramah mesra itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan Ihyak Masjid sebanyak RM5,000 berserta kurma kepada Masjid Chalong.
Raja Muda Perlis bertitah umat Islam juga harus berusaha menjaga kebersihan masjid dan persekitaran sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan.
Terdahulu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan masing-masing berjumlah RM5,000 berserta kurma kepada tiga lagi masjid di Wilayah Satun iaitu Masjid Pulau Panjang, Masjid Puju dan Masjid Tanjung Gabus.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan promosi menu Kurma Daging Perlis dan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di sebuah resort di sini.
-- BERNAMA