MELAKA, 2 Mac (Bernama) -- Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukkan RM1.95 juta tahun ini untuk diagihkan kepada 13,000 anak yatim berdaftar di bawah yayasan berkenaan.
Pengerusi YIDE Tan Sri Mazlan Mansor berkata sumbangan untuk ibadah puasa dan persiapan Aidilfitri itu diagihkan secara berperingkat bermula hari ini, membabitkan enam lokasi di Selangor dan Melaka termasuk Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSAS), Melaka.
“Inisiatif yang menjadi tradisi tahunan ini sebagai tanda keprihatinan dan komitmen YIDE dalam membantu golongan berkenaan dari segi sumbangan Aidilfitri khususnya di Selangor dan Melaka.
“Ia juga usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan dan keperluan anak yatim di bawah yayasan ini terus terpelihara,” katanya selepas mengiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyantuni dan menyampaikan sumbangan itu kepada anak yatim RAYSAS di Tanjung Kling di sini hari ini.
Pada program itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai RM9,300 selain 100 kilogram beras dan set kain pelekat kepada 31 anak yatim di situ.
Mazlan berkata sejak penubuhan RAYSAS pada 2000, ia melahirkan ramai alumni cemerlang yang kini berjaya dalam bidang profesional termasuk perubatan, pendidikan dan sektor kerajaan.
“Kejayaan ini membuktikan peranan penting institusi kebajikan dalam membentuk masa depan anak-anak yatim dan kekal komited menyokong mereka melalui pelbagai program pembangunan dan kebajikan,” katanya.
-- BERNAMA