SHAH ALAM, 3 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah lebih RM13.2 juta daripada enam anak syarikat kerajaan negeri hari ini.
Enam syarikat berkenaan ialah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad sebanyak RM3.4 juta, Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (RM2.9 juta) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (RM2.6 juta).
Selain itu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) sebanyak RM1.9 juta, Permodalan Negeri Selangor Berhad (RM1.2 juta) dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (RM1.03 juta).
Sultan Sharafuddin berkenan menerima zakat tersebut ketika berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Ketibaan baginda pada 6.30 petang yang turut diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah itu disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut menerima serahan wakaf bernilai lebih RM400,000 daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Tabung Infaq Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI).
Daripada jumlah tersebut, MBSA telah menyerahkan cek cura berjumlah RM50,000 manakala TIJARI lebih RM300,000 bagi tujuan Pembangunan Pendidikan TIJARI.
Baginda juga berkenan menerima serahan wakaf Klinik Bergerak Pergigian Wakaf Selangor Muamalat sumbangan Wakaf Selangor Muamalat.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyampaikan Sumbangan Hari Raya kepada 434 asnaf yang terdiri daripada fakir, miskin dan mualaf dengan setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM500 dengan keseluruhan sebanyak RM217,000.
Sultan Sharafuddin kemudiannya berbuka puasa dan menunaikan solat fardhu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama rakyat.
-- BERNAMA