KANGAR, 3 Mac (Bernama) -- Kesempitan hidup tidak membataskan semangat seorang ibu tunggal untuk membesarkan lapan anaknya meskipun berdepan kekangan kewangan sejak berpisah dua tahun lepas.
Dengan pendapatan harian RM60 sebagai pembantu kafe di sebuah kilang dekat ini, Nurulnoorazlina Che Nazlan, 37, bertekad akan memastikan pendidikan lapan anaknya yang berusia tiga hingga 19 tahun tidak dikorbankan.
“Saya selalu pesan pada anak-anak, pendidikan adalah kunci untuk keluar daripada kesusahan dan jika mahu mengubah nasib, mereka perlu belajar bersungguh-sungguh,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tiga anak Nurulnoorazlina sedang menuntut di sekolah rendah, seorang di sekolah menengah dan seorang lagi baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan anak sulungnya merupakan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Anak ketujuh ibu tunggal itu pula berusia lima tahun dan baru memulakan sesi tadika tahun ini, manakala yang bongsu berusia tiga tahun.
Nurulnoorazlina berkata Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diterima empat anaknya baru-baru ini memberi sedikit kelegaan, membantu menampung perbelanjaan asas sekolah mereka yang dianggarkan mencecah RM1,200.
“Duit bantuan itu saya gunakan sepenuhnya untuk kelengkapan sekolah mereka. Apabila semua kelengkapan mencukupi, mereka lebih bersemangat untuk belajar,” katanya.
Beliau juga bersyukur kerana anak sulungnya turut menerima bantuan dermasiswa dan elaun bulanan daripada kerajaan untuk menampung pengajian di UniMAP.
Namun, cabaran yang dihadapi tidak terhenti di situ. Dua anaknya, anak keempat dan keenam, menghidap talasemia dan memerlukan rawatan hospital antara dua hingga empat kali sebulan.
Kos tambahan itu, kata Nurulnoorazlina memberi tekanan besar pada kewangan keluarga, meskipun bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan.
Dalam keadaan serba mencabar, beliau tidak pernah berhenti berharap dan berusaha kerana baginya masa depan anak-anak lebih penting daripada kesulitan yang dihadapi hari ini.
-- BERNAMA