AM

AKTA PERKHIDMATAN PARLIMEN BUKTI KESUNGGUHAN KERAJAAN LAKSANA REFORMASI INSTITUSI - BBC

05/03/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen menjadi bukti  kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh prinsip pemisahan kuasa, menyubur demokrasi serta memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik. 

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata usaha itu akan menjadikan Parlimen lebih efektif, bertanggungjawab, mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan memastikan semak imbang serta wacana bermakna demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata antara aspek penting dalam akta itu adalah kebebasan dana dan kawalan kewangan oleh institusi Parlimen.

“Dengan kemampuan mengurus sumber kewangan secara autonomi, Parlimen tidak lagi bergantung sepenuhnya pada pengaruh eksekutif. Ini membolehkan pengagihan dana yang lebih telus, efisien dan berorientasikan keperluan rakyat,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, yang bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam.

RUU itu membuka lembaran baharu dalam memperkukuh institusi Parlimen serta membuktikan komitmen Kerajaan MADANI terhadap reformasi institusi melalui pemisahan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Mohd Shahar berkata Akta Perkhidmatan Parlimen turut memperkenalkan model hibrid untuk meningkatkan kecekapan Parlimen bagi memastikan kelancaran operasi, mengekalkan kepakaran khusus dalam urusan perundangan dan memenuhi keperluan semua pihak termasuk Ahli Parlimen serta pegawai terlibat.

Beliau berkata BBC memuji kepimpinan serta komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan reformasi institusi yang menyeluruh.

“Kami kekal teguh dalam menyokong segala inisiatif yang memperkukuh institusi demokrasi dan memastikan keluhuran Perlembagaan terus dipertahankan, dengan bertekad untuk memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan yang benar-benar bebas, berkesan dan selari dengan aspirasi rakyat.

“Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen ini adalah kemenangan besar bagi demokrasi Malaysia dan kami menantikan pelaksanaannya yang efektif bagi meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti Parlimen demi masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan