AM

PENGURUSAN MASJID PERLU MANFAATKAN SUMBANGAN SEBAIKNYA - AB RAUF

05/03/2025 09:25 PM

ALOR GAJAH, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri mahu sumbangan yang disalurkan kepada masjid dan surau sempena Ramadan dimanfaatkan sebaik-baiknya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata sumbangan berkenaan merupakan keprihatinan kerajaan negeri serta Persekutuan dalam mengutamakan kebajikan rakyat tanpa ada yang tercicir. 

"Sumbangan ini diharap memberi kesejahteraan kepada semua terutama untuk keselesaan menunaikan ibadat. Dalam masa yang sama, saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan menganjurkan aktiviti mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan," katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Masjid Sultan Ibrahim di sini hari ini. 

Beliau berkata sebanyak 280 asnaf diraikan kerajaan negeri hari ini, selain turut menyalurkan sumbangan Ramadan berjumlah RM28,000 berserta kit Ramadan bagi peringkat DUN Tanjung Bidara.

"Sumbangan sekali beri turut diserahkan kepada tujuh masjid dan 33 surau kariah di DUN Tanjung Bidara. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) secara keseluruhannya menyalurkan sumbangan RM117,350 kepada DUN Tanjung Bidara," katanya.

Ab Rauf berkata peruntukan berkenaan merangkumi sumbangan Ihya’ Ramadan, utiliti masjid dan surau, ahli jawatankuasa masjid, pengurusan jenazah wanita dan penggali kubur. 

"Selain itu, imam 1, imam 2, bilal serta noja turut menerima sumbangan RM500 seorang yang keseluruhannya berjumlah RM14,000 daripada Kerajaan Persekutuan," katanya. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan