DUNIA

AIDILFITRI 2025: INDONESIA SEDIA SAMBUT 146.48 JUTA PENGEMBARA

06/03/2025 01:07 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan Indonesia meramalkan 52 peratus penduduk negara itu atau kira-kira 146.48 juta orang akan melakukan perjalanan semasa cuti perayaan Aidilfitri 2025.  

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan memaklumkan pergerakan dari Pulau Jawa dijangka menyumbang 51.3 peratus atau sekitar 81.5 juta orang, dengan majoriti pengembara berasal dari Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah.

"Pergerakan orang ke dan dari Jawa Barat dalam tempoh ini dijangka tinggi. Oleh itu, kerjasama antara kementerian dan kerajaan wilayah akan menjadi penting," kata Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi.  

Beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Gabenor Jawa Barat Dedi Mulyadi dan Gabenor Banten Andra Soni bagi membincangkan persiapan dengan tumpuan kepada usaha penyelarasan antara kerajaan pusat dan wilayah, pengendali pengangkutan, serta pihak berkepentingan lain dalam menguruskan lonjakan yang dijangkakan dalam pergerakan penumpang dan barangan.

Kementerian itu turut bekerjasama dengan kerajaan Jawa Barat untuk menangani kemungkinan kesesakan di tiga plaza tol utama yang menjadi laluan penting bagi kenderaan yang melakukan perjalanan antara Jakarta, Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah.  

Dudy berkata semasa kemuncak perjalanan musim perayaan, jumlah kenderaan yang keluar dari Jakarta dijangka meningkat sehingga 60 peratus berbanding trafik harian biasa.  

Banten, sebagai kawasan transit utama dan pintu masuk antara Jawa dan Sumatera, dijangka menyumbang 1.7 peratus daripada jumlah pergerakan perjalanan negara.  

"Perhatian khusus akan diberikan kepada pelabuhan feri di rantau ini, termasuk Pelabuhan Merak, Pelabuhan Bandar Bakau Jaya Bojonegoro, Pelabuhan Pelindo 2 dan Pelabuhan Ciwandan," tambahnya.  

Indonesia, negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, menyaksikan jutaan penduduk meninggalkan bandar utama setiap tahun untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di jalan raya dan pelabuhan.  

-- BERNAMA  

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan