KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 hari ini untuk memberi peluang kepada pengembangan pelaburan dan ekonomi negara.
RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Terdahulu ketika menggulungkan RUU berkenaan, Rafizi berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan perbelanjaan untuk fasiliti CCUS.
“(Ini kerana) kerajaan telah mula mempertimbangkan cukai karbon untuk industri berat seperti besi dalam masa terdekat. Bila ada cukai karbon, maka akan ada syarikat atau individu yang membayar untuk menyimpan karbon.
“Sebagai contoh, jika cukai karbon sebanyak US$50 dolar bagi satu tan, maka pilihannya adalah mereka bayar cukai karbon atau bayar harga sama untuk membayar menyimpan karbon. Ini membuka peluang perniagaan yang baik, dan maka akan ada pelabur yang membina keseluruhan infrastruktur CCUS,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang 2026 bagi menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.
Sementara itu, Rafizi berkata Malaysia masih boleh menggunakan bekas lapangan minyak sedia ada dengan bijak untuk mencipta industri baharu seperti CCUS.
“Contohnya, ada banyak lapangan minyak yang tidak lagi diusahakan dan kita boleh menggunakan teknologi untuk menyuntik semula gas ke dalamnya.
“Ini akan memberikan keuntungan kepada kerajaan, mengukuhkan ekonomi negara, dan mencipta peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata dengan adanya hab CCUS akan dapat memanjangkan potensi negeri di persisiran pantai timur terutamanya Kertih sebagai pusat industri.
Menurutnya, hab tersebut berpotensi menarik kemasukan industri berat seperti besi berikutan keperluan industri itu untuk memerangkap dan menyimpan karbon.
Penggubalan RUU CCUS itu dilaksanakan berlandaskan pendekatan keseluruhan negara.
Bagi memastikan aktiviti berkaitan CCUS yang akan dilaksanakan seiring dengan keputusan Jemaah Menteri Kementerian Ekonomi telah mewujudkan struktur tadbir urus inisiatif CCUS kebangsaan.
Struktur tadbir urus itu yang terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan lima Kumpulan Fokus dianggotai wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan, kerajaan negeri, ahli akademik serta pemain industri.
-- BERNAMA