AM

KARTUNIS AZMI HUSSIN MENINGGAL DUNIA

06/03/2025 06:39 PM

GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) -- Kartunis terkenal kelahiran Pulau Pinang Mohd Azmi Mohd Hussin meninggal dunia semalam kerana serangan jantung.

Difahamkan,  Mohd Azmi, 41, atau lebih dikenali sebagai ME menghembuskan nafas terakhirnya selepas mengadu sakit dada dan penat sebaik sahaja pulang dari bazar Ramadan di Paya Terubong bersama anak dan isterinya.

Rakan baik Allahyarham, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, 42, berkata isteri Mohd Azmi terus membawanya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas Mohd Azmi tidak sedarkan diri.

“Doktor mengesahkan Azmi telah meninggal dunia sebelum tiba di hospital dan kematiannya disahkan akibat serangan jantung.

"Jenazah selesai dibedah siasat kira-kira 11 pagi dan dimandi serta dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum dikebumikan di Perkuburan Islam Jalan Perak selepas solat zuhur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Allahyarham meninggalkan isteri serta tiga anak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Digital negeri Wong Hong Wai mewakili seluruh warga kerja Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Azmi dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada industri seni.

Beliau berkata Mohd Azmi merupakan seorang pelukis karikatur serba boleh dan sering terlibat dalam pameran anjuran Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang antaranya Pameran Senilukis Terbuka Pulau Pinang, Belang, Langur dan Mergastua.

Ketika hayatnya, Mohd Azmi yang dikenali dengan siri komik Tanjong Life! dan pemegang tiga rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) terkenal dengan gaya lukisan kartun yang unik dan sering menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Malaysia terutamanya di Pulau Pinang.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai artis karikatur jalanan pada usia 29 tahun dan pencapaian terbesar ialah menghasilkan buku komik kedua bertajuk ‘The Little  Mamak’ pada 2016 yang tersenarai sebagai antara 50 buku terbaik di Malaysia oleh Majlis Buku Negara.

Anak kelahiran Butterworth itu juga pernah menerima Anugerah Pekomik Kembara pada 2018 dan Tokoh Kartunis Pulau Pinang pada 2021 dengan karya terakhir ialah komik berjudul ‘Tanjong Life: Back to the 90’s yang dihasilkan pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan