AM

JURUTEKNIK RAYU SUMBANGAN BELI UBAT KANSER ANAK BERHARGA LEBIH RM300,000

06/03/2025 07:10 PM

MELAKA, 6 Mac (Bernama) -- Seorang juruteknik kilang merayu sumbangan orang ramai bagi memastikan anak tunggalnya yang menghidap kanser neuroblastoma (kanser saraf), dapat membeli ubat diperlukan supaya boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. 

Azroyhatta Md Jais, 35, berkata Nur Sumayyah, 7, juga ingin bersekolah seperti rakan-rakannya, namun prosedur perubatan akan dilaluinya menyebabkan kanak-kanak itu perlu bercuti setahun.

“Harapan saya hanya ingin melihat anak sihat semula dan dapat bersekolah, itu sudah cukup. Saya bertekad mahu melakukan sebaik mungkin supaya anak dapat menjalani rawatan terbaik,” katanya ditemui di rumahnya di Residensi PR1MA Pokok Mangga, di sini hari ini.

Terdahulu, Azroyhatta menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Allex Seah Shoo Chin yang juga Setiausaha DAP Melaka, bagi menyampaikan sumbangan RM23,285.33 dikumpulkan parti daripada peniaga dan kenalan bagi membantu kanak-kanak itu.

Azroyhatta berkata kos pembelian ubat khas, Qarziba sebanyak 15 botol berjumlah RM344,844 menjadi kegusaran mereka kerana dirinya baru bekerja, manakala isteri Shakila Silah, 36, suri rumah sepenuh masa.

“Ubat itu tidak mendapat subsidi dan perlu digunakan anak pada Mei atau jika dana belum mencukupi, paling lewat ialah November.  Alhamdulillah setakat ini, saya telah menerima sumbangan pelbagai pihak sekitar RM186,000 dan sangat berharap orang ramai terus membantu,” katanya.

Azroyhatta berkata semua prosedur rawatan Nur Sumayyah dilakukan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur dengan dirinya dimaklumkan penggunaan ubat itu untuk lima bulan dan berfungsi bagi mengelak sel kanser menyerang semula.

Nur Sumayyah menjalani pembedahan membuang sel kanser pada 19 Feb dan Azroyhatta melahirkan rasa syukur kerana tidak perlu membiayai kos perubatan sebelum ini, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.

Mengulas episod duka menimpa Nur Sumayyah, lelaki itu berkata penyakit itu dikesan pada 28 Okt tahun lepas, selepas anaknya mengalami demam berulang setiap malam selama seminggu selain sakit perut.

“Bimbang dengan keadaannya, saya dan isteri membawanya ke klinik di Malim namun disebabkan bacaan suhu badan tinggi, kami merujuknya ke Hospital Pakar Putra sebelum pemeriksaan menerusi ultrabunyi mendapati terdapat ketulan besar di perut.

“Nur Sumayyah kemudiannya menjalani ujian CT scan sebelum dirujuk ke HTA dan dimaklumkan 90 peratus memang kanser saraf berdasarkan simptom dialami. Bermula dari situ, pelbagai prosedur perlu dilalui termasuk mengambil air sum sum,” katanya.

Sementara itu, Seah berkata sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga untuk membeli ubat diperlukan dan mendoakan Nur Sumayyah kembali pulih serta berpeluang bersekolah seperti diimpikannya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Azroyhatta menerusi Bank Muamalat di nombor akaun 04010042494728 atau menghubunginya di 017-6461436.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan