EKONOMI

ASEAN-BAC CADANG PERDAGANGAN, PELABURAN INTRA-ASEAN LEBIH KUKUH

06/03/2025 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) menggesa rantau ini memperkukuh perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN berikutan pemecahan ekonomi global yang semakin meningkat.

Pengerusinya, Tan Sri Nazir Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata integrasi serantau penting bagi negara yang lebih kecil yang berada dalam ketidaktentuan ekonomi global.

"Apabila kita mempertimbangkan susunan dunia yang pesat membangun dan pemecahan ekonominya yang ditandai dengan perpecahan sistem berasaskan peraturan Amerika Syarikat, ia menjadi jelas dalam realiti baharu ini apabila kekuatan sering kali menentukan kebenaran selain kerjasama serantau dianggap penting, malah boleh dianggap sebagai isu kelangsungan hidup bagi negara yang lebih kecil.

"Ini merupakan waktu penting bagi ASEAN, jadi kita mesti melepasi retorik dan membuat perubahan bermakna pada tahun ini. Oleh itu, kita mesti menjadikan ekonomi serantau ini lebih realiti dan kurang menjadi 10 pasaran yang terpecah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Perniagaan Kemboja-ASEAN 2025 di Phnom Penh hari ini.

Nazir juga bercakap mengenai prospektus tawaran awam permulaan (IPO) ASEAN yang disokong oleh pengawal selia sekuriti serantau untuk membantu syarikat meningkatkan modal merentasi pasaran ASEAN sambil mencari penyenaraian sekali gus menandakan langkah penting ke arah integrasi pasaran modal.

"Selain itu, bagi menyokong usaha ASEAN dalam mempertingkatkan pendigitalan dalam perdagangan rentas sempadan melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), kami sedang membangunkan platform pertukaran perdagangan digital negara yang baharu untuk memproses dokumen perniagaan bukan kastam, dengan bukti konsep untuk kebolehsesuaian antara Malaysia, Thailand dan Singapura yang dirancang pada tahun ini," katanya.

Sidang kemuncak selama dua hari itu bertemakan "Mempercepatkan Keterhubungan ASEAN: Rakyat, Infrastruktur dan Perdagangan."

Ia bermatlamat menyediakan platform strategik bagi Nazir menyokong 12 inisiatif utama ASEAN-BAC Malaysia semasa tahun kepengerusian ASEAN bersama-sama dengan sesi panel dan pemadanan perniagaan yang bertujuan untuk memupuk perkongsian dan kerjasama serantau.

Inisiatif ini di bawah tema "Menyatukan Pasaran untuk Kemakmuran Bersama" yang bertujuan untuk menggalakkan pelaburan intra-ASEAN, integrasi kewangan, kelestarian, keterangkuman, pendigitalan dan memperkukuh identiti ASEAN.

ASEAN-BAC berkata asas bagi inisiatif berkenaan dimulakan 20 bulan yang lepas dan selaras sepenuhnya dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia iaitu "Keterangkuman dan Kelestarian", dengan usaha kini tertumpu pada mendapatkan sokongan daripada kerajaan-kerajaan ASEAN.

Ia berkata satu daripada inisiatif utama merupakan Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) yang direka untuk meneruskan kelonggaran operasi rentas sempadan bagi syarikat serantau dengan perniagaan yang layak ABE mendapat manfaat daripada pergerakan bebas kakitangan dan skala ekonomi di seluruh ASEAN.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan