KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan memperluas Program Rakan Kebun ke 50 lokasi baharu di seluruh negara tahun ini.
Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata ia tambahan kepada 200 projek sedia ada yang bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk di sesebuah kawasan luar bandar.
Beliau berkata pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) boleh memohon untuk melaksanakan projek tanaman di kawasan masing-masing dengan nilai peruntukan antara RM10,000 ke RM15,000.
"Walaupun tanpa modal yang besar, program yang kita laksanakan sejak tiga tahun lepas ini terbukti berjaya menjana pulangan tinggi kepada penduduk, iaitu RM15,000 hingga RM20,000 semusim.
"Tanaman pula terpulang kepada kesesuaian masing-masing, ada yang menggunakan kaedah fertigasi … hidroponik pun ada. Paling popular tanaman salad karang … sawi putih," katanya selepas Program Desa Cerdas Kampung Pulau Manis, Serada di sini semalam.
Turut hadir Pengarah KEMAS Terengganu Dr Faridah Mat.
Hanafiah berkata KEMAS juga merancang untuk mendapatkan pensijilan halal bagi semua bengkel masakannya di seluruh negara.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan produk yang dihasilkan peserta latihan KEMAS dapat dipasarkan secara lebih meluas.
"Di tempat latihan (bengkel masakan), mereka (peserta KEMAS) akan menggunakan fasiliti yang ada untuk keluarkan produk. Jadi, saya fikir kita boleh usaha dapatkan sijil halal untuk bantu pasaran lebih luas.
"Untuk permulaan kita sasarkan sekurang-kurangnya satu bengkel di setiap negeri mendapat sijil halal pada tahun ini," katanya.
-- BERNAMA