SEPANG, 10 Mac (Bernama) -- Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 8 Mei ini untuk perbicaraan kes lafaz cerai taklik pelakon dan pelawak Muhammad Nizamuddin Ahmad atau lebih dikenali Along Cham terhadap isterinya Afreena Suhaimi.
Peguam Syarie Mohamad Iezwan Ielias yang mewakili Afreena, 33, yang dinamakan sebagai defendan berkata mahkamah mahu proses berkenaan dilaksanakan dengan teratur dan meminta beberapa perkara diperbetulkan.
“Mahkamah meminta Muhammad Nizamuddin memperbetulkan penyata tuntutan itu kerana apa yang dimasukkan adalah tidak secara teratur. Mahkamah tidak mahu dokumen yang dimasukkan ada berlaku pertindihan.
“Daripada pihak saya, (kami) tiada bantahan, pihak defendan sendiri untuk kes ini bicara terus tetapi disebabkan berlaku kesilapan, mahkamah terpaksa tangguh kerana perlu dimasukkan penyata tuntutan terpinda,” katanya kepada pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Hakim Syarie Muhamad Nazri Basrawi.
Muhammad Nizamuddin yang hadir ke mahkamah bersama ibunya Siti Habsah Kadir, 64, tanpa diwakili peguam berkata mahkamah turut memintanya melantik peguam syarie untuk mengendalikan kes pengesahan lafaz cerai takliknya.
Pelawak itu yang mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda, memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap isterinya itu pada 10 Feb lepas.
Beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, 35, pada 23 Jan 2010 sebelum bercerai pada 13 Ogos 2016, dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki berumur 14 tahun.
-- BERNAMA