Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kenaikan 25 peratus dalam kadar pemberian mengikut bilangan orang kepada kerajaan negeri, berjumlah RM548 juta berkuat kuasa 2026, merupakan langkah signifikan untuk menyokong belanjawan negeri.
Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Dr Yeah Kim Leng berkata kesan pengganda tidak langsung akan meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, tetapi yang lebih penting, perbelanjaan yang meningkat akan memberi manfaat kepada ekonomi negeri.
“Ini akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan, pembangunan infrastruktur, dan penambahbaikan lain yang meningkatkan taraf hidup dan kualiti kehidupan rakyat,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bahawa kadar pemberian mengikut bilangan orang yang diagihkan kepada kerajaan negeri akan dinaikkan sebanyak 25 peratus, atau RM109 juta, kepada RM548 juta berkuat kuasa 2026.
Kadar baharu itu diluluskan semasa mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2025.
Yeah berkata meskipun kenaikan ini tidak mencukupi untuk menampung sepenuhnya kenaikan inflasi dan kos tadbir urus sejak 2002, ia merupakan pelarasan besar yang akan membantu kerajaan negeri mengimbangi belanjawan mereka dan meningkatkan perbelanjaan untuk memperbaiki kebajikan dan kehidupan rakyat.
“Disebabkan sumber pendapatan yang terhad dan ketidakmampuan untuk meminjam tanpa kelulusan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri akan terus bergantung pada peruntukan persekutuan, terutamanya untuk pembangunan dan pembiayaan pelaburan berskala besar di peringkat negeri,” katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa desentralisasi fiskal, yang membolehkan kerajaan negeri menggerakkan pendapatan dan membelanjakan untuk keutamaan pembangunan khusus negeri, adalah matlamat jangka panjang yang wajar.
“Ini dapat membuka sepenuhnya potensi pembangunan setiap negeri melalui pendekatan ‘bottom-up’ berbanding sistem berpusat yang diamalkan sekarang.
“Bagaimanapun, dalam jangka pendek hingga sederhana, negeri-negeri akan terus bergantung pada peruntukan persekutuan untuk pembiayaan infrastruktur dan pembangunan besar,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peruntukan yang lebih tinggi ini menunjukkan usaha kerajaan persekutuan untuk memperkasa kerajaan negeri dalam mengurus urusan kewangan mereka.
“Secara umum, kerajaan negeri mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang keperluan tempatan berkaitan infrastruktur dan bantuan yang diperlukan oleh rakyat mereka.
“Langkah ini juga boleh menggalakkan penyelarasan dan kerjasama yang lebih baik antara kerajaan persekutuan dan negeri, terutamanya dalam melaksanakan agenda nasional,” katanya.
Beliau berkata kenaikan itu juga akan meningkatkan pengalaman pelabur dan perniagaan apabila berurusan dengan pegawai kerajaan, yang boleh dicapai melalui hubungan yang kukuh antara kerajaan persekutuan dan negeri.
"Ia akan menjadikan ekonomi lebih dinamik, seterusnya membawa kepada penciptaan pekerjaan berkualiti dan peluang perniagaan,” katanya.
-- BERNAMA