SHAH ALAM, 11 Mac (Bernama) -- Kira-kira tujuh daripada 10 wanita di Selangor atau 69.7 peratus berada dalam sektor pekerjaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata statistik itu menunjukkan Selangor telah melepasi sasaran 30 peratus kuota wanita dalam sektor pekerjaan mengikut standard antarabangsa, dengan sebahagian besar daripada mereka bekerja dalam sektor sumber manusia, pembuatan dan perkhidmatan.
Beliau berkata peningkatan itu juga selaras dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 yang dirangka kerajaan negeri, antara lain bagi melibatkan lebih ramai wanita dalam pasaran kerja sekali gus memperkukuhkan ekosistem inklusif kepada setiap rakyat negeri ini.
“Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan mencecah 69.7 peratus, satu petanda ia bukan lagi menjadi satu dogma atau perkara tabu tentang penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan.
“Cumanya, sekarang kita perlu pertingkatkan lagi penyertaan wanita dalam sektor tertentu yang kritikal seperti kejuruteraan dan kempimpinan yang masih rendah, layanan wanita di tempat kerja dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi menjayakan Jelajah Wanita MyWIRA antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan TalentCorp, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim Chee Keong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata selain dipengaruhi keperluan dan bakat, peningkatan jumlah penglibatan wanita itu juga disumbang oleh faktor tekanan ekonomi yang memerlukan pasangan suami isteri bekerja.
Berhubung Jelajah Wanita MyWIRA, beliau berkata kerjasama dengan KESUMA dan TalentCorp sangat tepat dalam memastikan wanita di Selangor, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat sokongan, kemahiran dan peluang yang diperlukan untuk berkembang maju pada masa akan datang.
Amirudin berkata program yang dijadual bermula dari April hingga November itu akan menjelajah kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, dan menjadi platform menghubungkan wanita dengan peluang pekerjaan serta sokongan pengintergasian wanita untuk tenaga kerja disemua peringkat.
Sementara itu, Sim berkata Jelajah Wanita MyWIRA menyasarkan untuk memperkasakan 1.4 juta wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 44 tahun di Selangor dengan memberikan akses langsung kepada peluang pemerkasaan dan insentif pekerjaan di bawah kerajaan MADANI.
"Kita juga akan luaskan lagi capaian program ini di lain-lain negeri kerana selain menggalakkan lebih ramai wanita kembali ke alam pekerjaan, ia juga platform untuk mempromosikan pelbagai insentif yang dibuat kerajaan seperti potongan cukai bagi program kembali bekerja dan aturan kerja anjal yang menguntungkan bukan sahaja pekerja wanita tetapi juga lelaki," katanya.
-- BERNAMA