KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Laporan bertajuk Women in Business oleh Grant Thornton mendedahkan berlaku penurunan yang membimbangkan melibatkan perwakilan wanita dalam jawatan pengurusan kanan di Malaysia.
Grant Thornton Malaysia PLT berkata peratusan wanita yang memegang jawatan menurun daripada 40.4 peratus pada 2023 kepada 39.6 peratus pada 2024, dan dijangka menurun lagi kepada 36.2 peratus pada 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, firma perunding profesional global itu menekankan bahawa bilangan perniagaan yang tidak mempunyai perwakilan wanita dalam jawatan pengurusan kanan meningkat kepada 9.3 peratus pada 2025 berbanding hanya 2.8 peratus pada 2024.
“Meskipun terdapat penurunan keseluruhan dalam perwakilan, laporan ini menonjolkan peningkatan dalam beberapa jawatan kepimpinan utama yang dipegang oleh wanita di Malaysia, dengan 57 peratus wanita memegang jawatan ketua pegawai sumber manusia, meningkat daripada 55.1 peratus tahun lepas.
“Begitu juga, 36 peratus wanita memegang jawatan ketua pegawai pemasaran, meningkat daripada 23.4 peratus tahun lepas, manakala 16.3 peratus wanita memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah urusan (MD), mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2 mata peratusan berbanding 2024,” kata laporan itu.
Bagaimanapun, firma itu berkata 46.5 peratus perniagaan juga melaporkan penurunan bilangan wanita yang memegang jawatan ketua pegawai kewangan, iaitu menurun daripada 54.2 peratus tahun lepas, manakala 18.6 peratus perniagaan mempunyai wanita dalam jawatan ketua pegawai operasi, menurun daripada 21.5 peratus tahun lepas.
Rakan kongsi audit dan jaminan Grant Thornton Malaysia Foo Lee Meng berkata penemuan ini mencerminkan langkah ke belakang dalam mencapai matlamat kepimpinan yang seimbang dari segi jantina.
"Ini merupakan gesaan kepada perniagaan bagi mengukuhkan usaha mereka untuk menggalakkan kesaksamaan gender dalam kepimpinan peringkat tertinggi.
"Penglibatan wanita masih tidak seimbang meskipun berlaku sedikit kemajuan. Peningkatan golongan wanita sebagai CEO dan MD dilihat memberangsangkan, tetapi hanya 16 peratus dan ini masih ketinggalan berbanding purata global sebanyak 21.7 peratus,” katanya.
Laporan itu juga menekankan tekanan luaran sebagai faktor utama dalam mendorong momentum untuk kepelbagaian gender.
“Di Malaysia, 70.9 peratus perniagaan telah menerima permintaan daripada pelanggan, pelabur, pengawal selia, atau entiti luaran lain untuk menunjukkan keseimbangan gender dalam pasukan pengurusan kanan mereka atau komitmen mereka terhadap inisiatif kepelbagaian gender,” kata laporan itu.
Tekanan paling ketara untuk perubahan datang daripada pelabur baharu yang berpotensi (32.6 peratus), organisasi rakan kongsi (31.4 peratus), dan pelanggan baharu yang berpotensi (29.1 peratus).
Laporan itu juga mendapati bahawa pemimpin perniagaan pasaran pertengahan mengenal pasti beberapa manfaat inisiatif kepelbagaian gender, termasuk peningkatan dalam pembuatan keputusan, inovasi, dan prestasi kewangan, serta manfaat budaya.
Ia berkata bahawa perniagaan yang mempunyai sasaran dan strategi kesaksamaan gender telah mewujudkan budaya yang rata-rata pekerjanya merasakan mereka bekerja dalam persekitaran inklusif (29.1 peratus); dilayan secara sama rata (27.9 peratus), dan percaya bahawa strategi kesaksamaan telah meningkatkan kapasiti inovatif firma mereka (25.6 peratus).
-- BERNAMA