KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 akan diadakan pada Jun ini, dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata tarikh sebenar penganjuran program bagi meraikan pengamal media itu akan diumumkan kelak.
“Ada beberapa perkara lagi sedang Kementerian Komunikasi teliti (berkenaan penganjuran HAWANA), insya-Allah, sempena sambutan itu nanti, kita akan ada beberapa pengumuman besar yang dapat membantu rakan-rakan media kita,” katanya kepada pemberita hari ini.
Fahmi ditemui pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Pada 23 Jan, Fahmi dilaporkan berkata HAWANA tahun ini akan menjadi platform untuk menghimpunkan organisasi media dari seluruh ASEAN bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama, selain mengenal pasti cabaran terkini dalam industri media.
Beliau berkata HAWANA akan menjemput pengamal media dari ASEAN untuk beberapa program sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
-- BERNAMA