KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Penglibatan ASEAN dan United Kingdom (UK) perlu terus diperkukuh untuk meningkatkan lagi peluang dalam perniagaan dan hubungan ekonomi yang telah terjalin erat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata gesaan untuk meningkatkan kolaborasi ini boleh merangkumi kerjasama kerajaan-ke-kerajaan (G2G) dan juga perkongsian perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
“ASEAN terus komited untuk memupuk persekitaran mesra perniagaan dan mengutamakan dasar serta penyampaian perkhidmatan yang jelas, bertanggungjawab dan telus,” kata Tengku Zafrul menerusi ucapannya semasa Forum Perniagaan UK-ASEAN 2025, bertajuk “Growing Together: Connecting a Sustainable, Digital and Shared Future”, di London hari ini.
Tengku Zafrul menggalakkan UK untuk terlibat bukan sahaja di peringkat pemimpin dan menteri tetapi juga melalui Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN dan platform BAC ASEAN untuk memperkukuhkan lagi perdagangan dan pelaburan ASEAN-UK.
Tahun ini, katanya, Malaysia akan meneraju inisiatif seperti Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASIG) dan Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Peralihan Hijau untuk mewujudkan amalan terbaik serantau.
"UK merupakan peneraju dalam inovasi perkhidmatan kewangan dan pengurusan kewangan hijau, dengan institusi seperti UK Centre for Greening Finance and Investment (CGFI) dan UK Climate Investments (UKCI) menjadi penanda aras global.
“Oleh itu, ASEAN boleh memanfaatkan kepakaran UK untuk mempercepatkan strategi kewangan hijaunya dan menyepadukan kemampanan dalam perancangan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata inisiatif Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) akan menjadi suatu yang mustahak semasa kepengerusian ASEAN Malaysia, yang menandakan kejayaan penting rantau ini pada 2025.
Tengku Zafrul berkata penaikan taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) akan menjadi satu pencapaian utama yang akan mengukuhkan kesalinghubungan perdagangan dan ekonomi serantau.
Beliau berkata pengukuhan rangkaian rantaian bekalan dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan pelancongan akan membantu mengurangkan risiko gangguan global sambil mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai hab ekonomi yang dipacu inovasi.
“Terdapat potensi besar bagi industri UK untuk meneroka keupayaan rantaian bekalan menyeluruh ASEAN.
“Sekiranya terdapat jurang, perniagaan UK boleh memainkan peranan membangun dan mengendalikan bahagian kritikal tersebut," kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata pencapaian penting pada 2025 adalah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang akan menyelaraskan peraturan, piawaian dan amalan untuk memudahkan perdagangan digital dan aliran data rentas sempadan.
“DEFA yang berpotensi menggandakan Ekonomi Digital ASEAN kepada US$2 trilion menjelang 2030, telah menarik minat daripada syarikat teknologi UK dan pemain global,” katanya.
-- BERNAMA