Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar
KUALA KANGSAR, 12 Mac (Bernama) -- Menjelang bulan Ramadan kuih tradisional yang hanya boleh didapati di Kuala Kangsar iaitu apam pasang, pasti dicari penggemarnya.
Kuih berbentuk bulat, berwarna putih dan bertekstur lembut yang juga dikenali sebagai ‘apam kuale’ ini, kini semakin sukar didapati kerana sudah tidak ramai yang mahu menghasilkannya disebabkan proses pembuatan yang agak renyah.
Pengusaha kuih tradisional tersebut Fairus Isa, 55, berkata masa yang lama untuk menghasilkan kuih itu antara faktor semakin kurang pengusaha mahu menghasilkannya untuk dijual.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata dia mempelajari cara membuat kuih apam pasang daripada Allahyarham ibu mentuanya Som Alang Said dan sudah berkecimpung dalam perniagaan kuih berkenaan selama 34 tahun.
Fairus berkata pada mulanya memang sukar untuk membuat kuih itu, kerana mengambil masa yang lama untuk menyediakan bahan asas bagi menghasilkan tapai nasi, namun kini sudah terbiasa dan mudah baginya.
“Nak buat tapai nasi memang kena ambil masa dalam dua hari, supaya nak cukupkan rasa masam-masam manisnya, baru boleh buat kuih apam pasang itu.
“Saya juga tak pakai yis, saya cuma pakai ragi sahaja. Ragi yang digunakan untuk menghasilkan tapai pulut,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Fairus berkata usai membuat tapai nasi, barulah bahan-bahan lain iaitu tepung beras dan gula, boleh dibancuh bersama untuk menghasilkan apam pasang yang sempurna untuk dinikmati pelanggan.
Beliau berkata dia akan mula membancuh bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan apam pasang seawal 8 pagi pada bulan Ramadan, kerana prosesnya mengambil masa kira-kira lima jam.
“Lima jam baru boleh kukus. Maknanya yang lama (proses) itu ketika nak buat tapai nasi. Kira-kira 2 petang saya dah boleh hantar (apam pasang) kepada peniaga di Bazar Ramadan Arena Kuala Kangsar,” katanya sambil berkata kesukaran lain yang dihadapi dalam menghasilkan apam pasang ialah mendapatkan daun pisang hutan.
Fairus berkata apam pasang dipanggil sedemikian, kerana dua apam yang sudah siap dimasak dan dibalut dengan daun pisang akan ditelangkupkan bersama sebelum dinikmati bersama kelapa parut atau kuah kari.
Beliau berkata cara penghasilan apam pasang pada masa kini juga telah berubah mengikut zaman iaitu lebih moden, apabila menggunakan dapur gas yang mampu menghasilkan kuih itu dengan lebih cepat, berbanding suatu ketika dahulu dengan menggunakan dapur kayu.
Selain itu, Fairus berkata modal untuk menghasilkan apam pasang juga kian meningkat akibat harga bahan turut meningkat dan tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Arena Kuala Kangsar mendapati sepasang apam pasang dijual pada harga RM5, berbanding RM3 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
Berkenaan apam pasang kuale yang turut digelar apam ‘diraja’, Fairus berkata kisah kuih itu ada dibukukan apabila dikaitkan dengan Sultan Perak dan kerabatnya yang menggemari kuih berkenaan sebagai hidangan ringan.
Fairus berkata untuk Ramadan, beliau hanya menghasilkan 100 apam pasang setiap Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari minggu jumlahnya akan lebih sedikit, kira-kira 200 unit.
Sementara itu, peniaga kuih di Bazar Ramadan Arena Kuala Kangsar Nancy Mat Salleh, 63, yang sudah berniaga di kawasan itu kira-kira 20 tahun, meskipun beliau tahu cara untuk menghasilkan apam pasang, namun tidak mampu untuk membuatnya kerana mengambil masa yang lama.
“Nak buat tak sempat sebab memang susah nak buat tapai nasi yang ambil masa dua ke tiga hari. Selalu habis sahaja kuih apam pasang ini dijual sebab memang orang cari kuih ini sebab kata mereka ia sedap," katanya yang mengambil apam pasang daripada Fairus untuk dijual.
-- BERNAMA