AM

P. PINANG SASAR 600 UNIT EVCB SIAP DIPASANG TAHUN INI

13/03/2025 01:19 PM

GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Sebanyak 600 unit Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) dijangka siap dipasang di Pulau Pinang menjelang hujung tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Jason H’ng Mooi Lye.

Beliau berkata projek itu melibatkan 300 unit EVCB di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 300 unit lagi di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“MBPP telah mengkaji kesesuaian pemasangan EVCB di kawasan pulau, namun kekangan tapak dan ruang terhad menyebabkan tempat letak kereta sedia ada ditukar kepada EVCB. Ia termasuk kawasan parkir kompleks MBPP serta ‘on-street parking’ bagi memberi akses lebih luas kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita hari ini, di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pemasangan EVCB di Gat Lebuh China di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran.

Pada masa sama, H’ng berkata MBPP telah melaksanakan proses Request for Proposal (RFP) fasa satu bagi pemasangan 52 unit EVCB di 26 lokasi sekitar bahagian pulau. Lokasi tersebut termasuk Persiaran Karpal Singh, Jalan Concordia, Precinct 10, Lebuh Union, Gat Lebuh China, dan Pasar Tanjung Bungah.

Beliau berkata kesemua 52 unit EVCB tersebut telah siap dipasang dan sedang dalam proses penyambungan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan operasi dijangka bermula pada April ini.

Selain itu, katanya MBPP sedang melaksanakan RFP fasa dua bagi menambah lebih 50 unit EVCB di 27 lokasi tambahan, yang dijadualkan siap menjelang Disember.

“Selain pemasangan di kawasan MBPP dan MBSP, pusat beli-belah serta pemaju komersial turut mengambil inisiatif menyediakan EVCB sejajar dengan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik. Saya dimaklumkan bahawa di bahagian pulau sahaja, sebanyak 261 unit EVCB telah dipasang oleh pihak swasta,” katanya.

Justeru, kerajaan negeri akan terus menggalakkan pemaju kawasan komersial, perumahan, dan pusat beli-belah memasang EVCB bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Beliau turut memaklumkan bahawa di kawasan MBSP, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan dan syarikat pemasangan EVCB giat mengenal pasti lokasi baharu bagi memperluas kemudahan tersebut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan