Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 13 Mac (Bernama) -- Pakistan berikrar untuk bertindak tegas terhadap keganasan selepas puluhan terbunuh dalam kejadian rampasan kereta api di barat daya negara itu.
Jurucakap tentera Pakistan pada Rabu memaklumkan bahawa pasukan keselamatan menembak mati 33 pengganas dalam operasi menyelamat ratusan penumpang Jaffar Express.
Kereta api yang membawa 440 penumpang dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Peshawar sebelum diserang di daerah Bolan, wilayah Balochistan pada Selasa.
Sebelum operasi menyelamat dilancarkan, seramai 21 penumpang telah dibunuh oleh kumpulan pengganas, kata Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, ketua sayap media tentera Inter-Services Public Relations (ISPR) kepada saluran televisyen Dunya News pada Rabu.
Operasi menyelamat yang berlangsung pada Selasa dan Rabu itu melibatkan anggota tentera darat, tentera udara, Pasukan Kor Frontier serta Pasukan Khas (SSG), menurut Chaudhry.
Empat anggota Pasukan Kor Frontier terkorban dalam operasi itu.
Kumpulan penyerang menjadikan sejumlah besar penumpang sebagai tebusan dan menggunakan mereka sebagai perisai manusia.
Ketua ISPR turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menyerang rakyat Pakistan atas arahan dalang asing.
"Mereka akan diburu dan dibawa ke muka pengadilan.
"Insiden Jaffar Express ini mengubah peraturan permainan kerana pengganas ini langsung tiada kaitan dengan agama Islam, Balochistan, mahupun Pakistan," tegas Chaudhry dalam temu bual televisyen.
Kumpulan pemberontak, Baloch Liberation Army (BLA) sebelum ini mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif memuji kecekapan pasukan keselamatan dalam menjalankan operasi dan berjanji akan meneruskan perjuangan menentang keganasan.
"Kami bertekad untuk menghapuskan sepenuhnya mereka yang menyerang orang awam yang tidak bersalah. Perjuangan kami melawan pengganas akan diteruskan sehingga keganasan dihapuskan sepenuhnya dari negara ini," kata Shehbaz.
-- BERNAMA