DUNIA

MENTERI LUAR INDONESIA SAMBUT BAIK KEMAJUAN PERBINCANGAN SEMPADAN DENGAN MALAYSIA

13/03/2025 04:59 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono menyambut baik kemajuan dalam rundingan dengan Malaysia mengenai sempadan maritim dan darat, sambil berikrar untuk meneruskan proses itu sehingga isu yang belum selesai dapat diselesaikan.

Perbincangan itu berlangsung semasa kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, ke Kementerian Luar di Jakarta Pusat pada Rabu.

Menurut kenyataan kementerian itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai isu penting dalam hubungan dua hala mereka, termasuk kerjasama ekonomi, ASEAN dan situasi di Palestin.

Mengenai ekonomi, Sugiono menyatakan keyakinan terhadap masa depan hubungan Indonesia-Malaysia serta menekankan kepentingan pelaburan Malaysia di Indonesia.

Antara kerjasama utama termasuk perkongsian antara syarikat minyak milik negara kedua-dua negara, Pertamina dan Petronas, serta usaha bersama dalam sektor minyak sawit.

“Malaysia merupakan pelabur keempat terbesar dari Asia Tenggara, dengan jumlah pelaburan sebanyak US$4.1 bilion pada 2024,” katanya.

Dalam hal ASEAN, beliau mengulangi sokongan Indonesia terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Kedua-dua pihak turut membincangkan isu Palestin yang masih berlarutan dan menegaskan komitmen mereka terhadap penyelesaian, termasuk gencatan senjata berkekalan serta Penyelesaian Dua Negara.

Indonesia melihat Malaysia sebagai rakan penting dan jiran rapat, dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin selama 68 tahun, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan